Jumaat, 8 Januari 2021

‘Tawa dalam tangisan’ peniaga makanan musim banjir

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
HASHIMAH Md. Noor tidak menang tangan menyediakan makanan yang ditempah untuk diedarkan kepada mangsa banjir di PPS SMK Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor hari ini. - FOTO/ RAJA JAAFAR ALI

KOTA TINGGI: Rumah seorang pengusaha kedai makan di Kampung Kelantan di sini tidak terkecuali dilanda banjir yang mula berlaku di daerah ini, sejak Ahad lalu.

Namun, dalam sedih memikirkan rumahnya yang tenggelam, Hashimah Md. Noor, 50, mungkin masih boleh tersenyum apabila perniagaan kedai makannya berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi menjadi tumpuan.

Malah, rezekinya makin bertambah selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menempah makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Jaya.

Katanya, sejak Isnin lalu, dia menyediakan 225 bungkusan makanan bagi setiap kali tempahan untuk sarapan, tengah hari dan makan malam.

“Pihak JKM membuat tempahan itu selepas kegiatan gotong-royong untuk memasak tidak lagi dibenarkan di PPS bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

“Setiap hari saya menyediakan menu masakan yang berbeza untuk memastikan mangsa banjir di PPS SMK Taman Kota Jaya tidak jemu dengan hidangan yang sama. 

“Kebanyakan masakan yang saya sediakan berasaskan ayam kerana bekalan ikan sukar didapati disebabkan banjir ketika ini dan sebanyak 40 kilogram beras digunakan untuk memenuhi tempahan di PPS terbabit setiap hari,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

PPS Taman Kota Jaya menempatkan mangsa banjir dari Taman Kota Jaya, Kampung Kemang, Taman Kuso dan Kampung Kelantan.

Sementara itu, Hashimah berkata, rezeki tersebut sedikit sebanyak mengubat hatinya yang pilu setelah rumahnya di Kampung Kelantan turut ditenggelami air bah. 

Dia hanya sempat mengemas beberapa barang berharga dan pakaian sebelum meninggalkan rumah untuk menguruskan kedai makan tersebut.

“Saya masih ingat ketika itu kira-kira pukul 3 pagi jiran beritahu air sudah naik, mujur kami empat beranak sudah bersedia menghadapi situasi seumpama ini apabila beg berisi barangan penting sudah tersedia.

“Saya bernasib baik kerana mempunyai sebuah lagi rumah di Taman Sejahtera yang boleh dijadikan tempat berlindung sementara selepas rumah di Kampung Kelantan ditenggalami air,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: