CHUKAI: Lebih ramai penduduk di sekitar bandar Chukai dijangka berpindah susulan pertembungan air sungai dari hulu dan fenomena air pasang besar.
Situasi itu menyebabkan limpahan air sehingga ke kawasan bandar Chukai dan setakat ini, limpahan air di Jalan Geliga ke Chukai adalah sedalam 0.3 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah, berkata kenaikan paras air di tiga sungai di daerah ini menyebabkan limpahan sehingga ke bandar Chukai.
"Ketika ini, tiga sungai iaitu Sungai Teladas atau Kemaman, Sungai Tebak dan Sungai Cerul boleh dikatakan sudah sampai sepenuhnya ke bandar Chukai sehingga menyebabkan banyak taman dan kampung dinaiki air sedalam hampir satu meter.
"Jadi berkemungkinan malam ini, kita jangka akan berlaku peningkatan paras air kira-kira jam 3 pagi nanti dengan ketinggian air laut dianggarkan 2.7 meter.
"Antara yang terkesan akibat fenomena ini adalah Kampung Pengkalan Pandan, Kampung Bukit Mentok, Bandar Baru Bukit Mentok, Kampung Tempurung dan sekitar Bandar Chukai," katanya.
Mohd Zailani menasihatkan orang ramai terutama penduduk di sekitar bandar Chukai supaya sentiasa mendengar arahan pihak berkuasa.
"Jika diminta untuk berpindah, kita harap penduduk akur dengan arahan diberikan kerana pemindahan pada saat-saat akhir akan menyukarkan pasukan penyelamat untuk masuk ke kawasan kediaman," katanya.
Terdahulu, beberapa laluan utama di sekitar bandar Chukai mula dinaiki air sejak 5 petang tadi.
Tinjauan mendapati air melimpah ke laluan utama di kedua-dua arah dari Geliga menghala bandar Chukai menyebabkan suasana jalan sedikit sesak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan