Selasa, 19 Januari 2021

TABIKA Perpaduan diarah tutup sepanjang PKP

PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara mengarahkan semua TaABIKA Perpaduan di seluruh negara ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0).

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan trend harian kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Katanya, penutupan itu juga mengambil kira pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Sabtu lalu, serta keputusan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) semalam.

"Bermula esok semua murid TABIKA Perpaduan Tahun 2021 di seluruh negara akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), menggunakan medium komunikasi secara dalam talian," katanya melalui suatu kenyataan media, hari ini.

Beliau menegaskan, langkah itu bertujuan membantu mencegah penularan wabak COVID-19 selain memastikan sesi pembelajaran pendidikan awal kanak-kanak dapat diteruskan.

Pada Sabtu lalu, melalui kenyataan dikeluarkan KPM, hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama saja dibenarkan hadir ke sekolah bermula esok.

Ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira trend peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

Tiada ulasan: