Selasa, 19 Januari 2021

Lebih 1.8 tan sampah banjir dikumpul di bandar Maran

MARAN: Majlis Daerah Maran (MDM) mengumpul lebih 1.8 tan pelbagai jenis sampah pasca banjir dalam tempoh dua minggu, bermula 5 Januari lalu.

Setiausaha MDM, Wan Norizan Wan Badaruzzaman, berkata operasi mengumpul dan memindahkan sampah dilakukan kakitangan MDM dan syarikat Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) yang bertugas setiap hari.

Katanya, operasi sampah dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu lagi sebelum selesai sepenuhnya, pelbagai jenis sampah dibuang oleh mangsa banjir dibeberapa kawasan di daerah ini.

Katanya, terdapat dua kategori sampah yang paling banyak dibuang iaitu membabitkan sisa pukal dan sisa kebun. Sampah berkenaan mula dibuang selepas air surut dan mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Sisa pukal seperti almari, barangan rumah dan perabot mencatat jumlah terbanyak dikumpul. Hampir setiap penduduk di taman dan kampung yang ditenggelami banjir bertindak membuang barangan rosak serta tidak boleh digunakan lagi.

"Sisa kebun pula membabitkan pokok tumbang termasuk pokok bunga serta pokok hiasan yang mati dan tidak boleh digunakan lagi disebabkan terendam dalam air agak lama" katanya, dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, pada masa sama sebahagian tempat awam dan bangunan dalam Bandar Maran sudah dicuci oleh kakitangan MDM dengan dibantu sukarelawan dalam dan luar Pahang, termasuk masyarakat setempat yang datang sebelum ini.

Wan Norizan berkata, kini aktiviti mencuci kesan lumpur diatas permukaan beberapa jalan utama termasuk dalam parit di bandar ini sedang giat dilakukan kakitangan Alam Flora menggunakan semburan air.

Mengenai permohonan peniaga supaya sewa premis dikecualikan berikutan mereka menanggung kerugian disebabkan banjir katanya, setakat ini pihak pengurusan MDM masih belum membuat sebarang keputusan terhadap rayuan berkenaan.

"Kita terpaksa membaiki banyak kemudahan awam yang rosak termasuk musnah disebabkan arus deras banjir baru-baru ini, kesan lumpur pada dinding bangunan juga perlu bersihkan sebelum dicat semula.

"Usaha berkenaan akan dilakukan secara berperingkat dalam memastikan Bandar Maran kembali ceria sama seperti sebelum ini," katanya.

Tiada ulasan: