PETALING JAYA: Aktivis hak asasi haiwan memuji pesanan Sultan Selangor untuk menunjukkan lebih belas kasihan terhadap anjing dan kucing terbiar, seterusnya berharap pihak berkuasa tempatan akan mematuhi nasihat baginda supaya melaksanakan undang-undang kecil lebih bersifat belas kasihan.
Dalam kenyataannya di media sosial semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa orang awam menjaga haiwan “sama ada sebagai haiwan kesayangan atau di habitat asal”, dan menambah pihak berkuasa tempatan mesti mencari kaedah holistik untuk mengendali haiwan terbiar supaya tidak dibunuh atau dikurung.
Arie Dwi Andika, presiden Persatuan Haiwan Malaysia berkata, walaupun melihat pesanan Sultan Sharafuddin itu sebagai baik, kini tindakan sewajarnya perlu dilakukan oleh penggubal sejajar dengan pesanan baginda.
“Buat masa ini, undang-undang kecil membolehkan penangkapan atau pembunuhan haiwan terbiar dalam usaha mengekang penyakit seperti rabies, walaupun seekor haiwan tidak dapat dibuktikan sakit.”
Katanya, cadangan Sultan supaya Malaysia menggunakan sistem sama dengan di Turki adalah sesuatu yang baik kerana membolehkan pengurusan haiwan terbiar dengan belas kasihan.
“Sudah tiba masa untuk bertindak. Cara Turki melakukannya, dengan menangkap, mengkasi dan melepaskan atau memberi tempat tinggal untuk haiwan terbiar, adalah kaedah berbelas kasihan untuk menangani jumlah haiwan seperti itu.
“Jika mereka mahu melihat haiwan terbiar dikawal dengan lebih baik dalam tempoh 10 tahun, mereka perlu bermula sekarang,” katanya.
Di Turki, di mana rabies pernah menjadi isu serius yang menyebabkan banyak anjing dibunuh, kerajaan meluluskan undang-undang pada 2004 supaya pihak berkuasa tempatan memulihkan haiwan dan bukannya membunuh. Haiwan terbiar ditangkap, dirawat dan dilepaskan selepas dikasi.
Pihak berkuasa tempatan juga bertanggungjawab memberi makan kepada haiwan berkenaan.
Pada 2018, laporan mengatakan 1.2 juta haiwan jalanan dikasi dan 1.5 juta disuntik vaksin di Turki selepas undang-undang itu dilaksanakan.
Puspa Rani Thanabalasinagm, pengasas Malaysia Independent Animal Rescue, menganggap perbandingan itu amat wajar dan berkata, walaupun Turki negara sekular, majoriti penduduknya beragama Islam seperti di sini.
“Amat menggembirakan apabila Sultan, sebagai ketua agama Islam di Selangor, mengeluarkan kenyataan sebegini.
“Semua agama menyebarkan ajaran belas kasihan dan kasih sayang. Malangnya apabila membabitkan haiwan-haiwan ini, terutama anjing, pesanan ini seolah-olah dilupakan dan ditafsirkan dengan salah.”
Puspa Rani berkata, selain meminda undang-undang, program pendidikan dan inisiatif juga perlu dilakukan untuk memperbaiki persepsi awam terhadap haiwan terbiar, selain memastikan pemilik haiwan kesayangan bersifat lebih bertanggungjawab supaya binatang peliharaan mereka tidak hilang tempat tinggal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan