KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa menjelaskan, kelulusan diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membawa pedati Dewa Murugan dari kuil di Jalan Bandar ke Batu Caves pada 27 Jan ini dan kembali ke kuil sama dua hari kemudian tidak melibatkan perarakan.
Beliau berkata, MKN membenarkan membawa atau pergerakan patung Dewa Murugan ke Batu Caves pada tengah malam atau awal pagi.
“Kebenaran iaitu pada masa tertentu, dengan cara tidak ada perarakan,” katanya selepas menyerahkan tawaran rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada penduduk setinggan Kwong Tong di Dewan Seri Alam.
Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan kenyataannya di Twitter malam tadi, MKN meluluskan perarakan pedati membawa Dewa Murugan dari lokasi berkenaan.
Annuar berkata semalam, bagaimanapun kelulusan itu bersyarat dan DBKL akan memantau pematuhan SOP semasa perarakan.
Dalam pada itu, Annuar berkata beliau melihat ada sedikit kesalahan dalam laporan media berhubung perkara itu.
“Saya nampak ada sedikit salah lapor. Kadang-kadang bila kita buat ‘Tweet’ ringkas ia tidak beri gambaran penuh.
“Sebenarnya bila disebut kebenaran perarakan ramai orang rasa resah, takut, bimbang ada perarakan. Ertinya akan ada pelanggaran SOP, akan menyebabkan berlaku kluster Thaipusam dan sebagainya,” katanya.
Katanya, sebenarnya laporan itu terlalu ringkas.
“Apa nak saya jelaskan MKN membenarkan untuk patung Dewa Murugan itu dibawa ke Batu Caves sebagai menghormati masyarakat agama Hindu yang nak menyambut Thaipusam.
“Kerana setiap tahun pun ada perjalanan patung Dewa Murugan dari Kuala Lumpur ke Batu Caves dan bawa balik semula,” katanya.
Katanya, oleh kerana perintah kawalan pergerakan (PKP), MKN tidak boleh melonggarkan supaya perkara biasa dibuat ketika PKP.
“Jadi MKN dah bincang secara terperinci lalu dibenarkan membawa atau pun pergerakan patung Dewa Murugan dibawa ke Batu Caves pada masa tertentu ditetapkan pada tengah malam atau awal pagi dengan cara tidak ada perarakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan