ALOR SETAR: Kerajaan Kedah membelanjakan sebanyak
RM660,000 bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan
Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana di negeri itu.
Menteri
Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan tersebut melibatkan 11
PKPD yang dilaksanakan di negeri itu akibat penularan COVID-19 sebelum
ini.
Katanya, penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan diberi wang tunai sebanyak RM200 bagi setiap keluarga.
“Selain
bakul makanan bernilai RM100 sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) dan agensi-agensi lain,” katanya pada program Bicarawara Hello YB
di Kedah FM semalam.
Hello YB disiarkan Kedah FM setiap Ahad jam 12.15 tengah hari turut menampilkan anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri yang ditemubual berkenaan portfolio masing-masing.
Rancangan yang ke udara selama 30 minit itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan Bajet 2021 yang dibentangkan Menteri Besar tahun lepas.
Hello YB juga akan turut ke udara melalui Langkawi FM pada hari yang sama.
Muhammad Sanusi juga berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pelancaran Normal Baharu pada Khamis ini untuk mensesuaikan semua bentuk program selaras situasi pandemik Covid-19 di negara ini.
“Saya berharap tahun ini rakyat Malaysia dapat dimanfaatkan vaksin supaya penularan wabak itu dapat dibendung.
“Bagaimanapun menjadi kewajipan orang ramai terus menjaga SOP selain memastikan keluar rumah ketika perlu sahaja dan mengamal memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan