Rabu, 6 Januari 2021

Banjir fasa kelima melanda Terengganu

HARAKAH DAILY

KUALA TERENGGANU: Banjir fasa kelima melanda Terengganu bermula semalam di mana berlaku hujan renyai sesekali lebat serta angin kencang di kawasan pantai.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran meminta penduduk diminta mengambil langkah berjaga-jaga termasuk patuh arahan pihak berkuasa.

Mengikut laporan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), sehingga jam 12 hari ini, seramai 815 mangsa banjir di daerah Dungun dan Kemaman dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Seramai 615 mangsa membabitkan 146 keluarga dipindahkan ke lima PPS di Kemaman iaitu di Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih dan SK Teluk Kalong.

Manakala di daerah Dungun pula, seramai 200 mangsa daripada 61 keluarga berpindah ke PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Che Adam A Rahman berkata, berlaku pertambahan bilangan mangsa banjir yang dipindahkan hari ini.

Bagaimanapun katanya, sebuah PPS ditutup iaitu SK Kemasik di Kemaman.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, paras tiga sungai utama iaitu Sungai Kampung Tebak, Sungai Kampung Baru Kemasik dan Sungai Kuala Jengai melebihi paras bahaya.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Kampung Minda, Wan Zawawi Wan Ahmad berkata, pihaknya mengeluarkan arahan agar penduduk yang berada di kawasan rendah agar sentiasa bersiap siaga.

“Penduduk sentiasa diberi peringatan melalui masjid dan melalui sebaran media sosial.

“Walaupun jumlah mangsa yang berpindah tidak melibatkan jumlah yang besar namun ramai yang terkesan,” katanya. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: