KEMAMAN: Polis menahan dua lelaki dipercayai tokan dadah dalam dua serbuan berasingan berhampiran ladang kepala sawit di Felda Neram 1 di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kedua-kedua lelaki berusia 36 dan 37 tahun itu ditahan selang sejam di lokasi berdekatan antara pukul 1.40 petang hingga 3 petang.
Katanya, polis merampas empat paket plastik berisi serbuk putih dipercayai dadah, 138 pil kuda, wang tunai RM2,730 selain menyita dua motosikal dengan nilai keseluruhan RM20,000.
“Dalam serbuan pertama, kita menahan lelaki berusia 37 tahun yang berasal dari Felda Bukit Kuantan, Pahang di tepi jalan berhampiran ladang itu pada pukul 1.40 petang.
“Suspek kedua yang berumur 36 tahun dari Felda Neram 1 pula ditahan selang beberapa kilometer dari lokasi pertama dan pemeriksaan menemukan sebuah beg yang mempunyai dua paket plastik berisi serbuk atau ketulan kristal, sebotol serbuk putih dan 138 biji pil kuda dan wang tunai berjumlah RM2,210,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hanyan berkata, hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapati kedua-duanya positif dadah dengan suspek pertama mempunyai sembilan rekod lampau dan suspek kedua (tiga rekod).
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama.
Menurutnya, kedua-kedua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan