Isnin, 4 Januari 2021

Peguam Haniff Khatri didenda RM30,000 hina mahkamah .

BH ONLINE
Mohamed Haniff Khatri Abdulla. - Foto fail NSTP
Mohamed Haniff Khatri Abdulla. - Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla didenda RM30,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Persekutuan kerana menghina mahkamah selepas tidak menghormati Mahkamah Persekutuan dalam kes pertikaian harta.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Abdul Rahman Sebli juga turut mengenakan denda masing-masing RM50,000 atau penjara sebulan terhadap tiga individu yang juga rakan kongsi firma pemberi pinjaman wang berlesen atas kesalahan sama.

Bagaimanapun, Hakim Abdul Rahman membenarkan permohonan Mohamed Haniff Khatri dan ketiga-tiga pihak untuk menyelesaikan denda itu menjelang Jumaat ini.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim juga memerintahkan ketiga-tiga individu itu membayar kos RM50,000 manakala Mohamed Haniff Khatri membayar kos RM10,000.

Dalam menjatuhkan hukuman terhadap keempat-keempat individu itu, Hakim Abdul Rahman berkata perbuatan menghina mahkamah tidak boleh dipandang ringan.

Hakim Abdul Rahman berkata, mahkamah mengenakan denda RM50,000 ke atas Ding Toh Biew, Ding Toh Gien dan Ding Toh Lei kerana mereka tidak menyatakan sesal atau menunjukkan kekesalan kepada mahkamah selepas didapati bersalah kerana menghina mahkamah.

Sebaliknya, beliau berkata mereka tetap menyatakan tindakan mereka atas nasihat Mohamed Haniff Khatri, yang juga bekas peguam mereka.

Beliau berkata Mohamed Haniff Khatri telah memohon maaf kepada mahkamah secara tegas dan tanpa syarat, sambil menambah bahawa ia adalah jelas bahawa beliau benar-benar menyesal.

Bagaimanapun, Hakim Abdul Rahman berkata mahkamah juga mengambil kira bahawa Mohamed Haniff Khatri hanya memutuskan untuk memohon maaf kepada mahkamah selepas didapati bersalah.

Beliau berkata penghinaan yang dilakukan oleh Mohamed Haniff Khatri, yang merupakan pegawai mahkamah dan sebagai ahli kanan Majlis Peguam adalah bertentangan dengan mahkamah apex.

Tiada ulasan: