KUANTAN: Mayat pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) ditemui selepas tiga hari hanyut di Sungai Puas Kampung Gintong, Jerantut.
Ketua Polis Daerah Jerantut Mazlan Hassan berkata, mangsa Ukai Iskandar Zulkarnain yang hanyut bersama bapanya Zulkarnain Hitam, 58, ditemui kira-kira 5m dari lokasi kejadian oleh orang awam sekitar 9 pagi tadi.
“Pengecaman mayat sudah dilakukan ahli keluarga mangsa dan jasad Ukai Iskandar kemudian dibawa ke Hospital Jerantut untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, Mazlan berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan tengah hari tadi.
Ahad lalu Ukai Iskandar, 23, dan bapanya Zulkarnain Hitam dihanyutkan arus deras ketika berjalan bersama dua adiknya untuk pulang ke rumah di Kampung Gintong kira-kira 10.30 malam selepas memindahkan kereta ke kawasan tinggi.
Zulkarnain yang juga kakitangan Pejabat Hutan Daerah Jerantut ditemui lemas pada hari kejadian manakala dua anaknya berusia 13 dan 15 tahun berjaya diselamatkan orang awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan