Ahad, 17 Januari 2021

Mayat lelaki ditemui terapung dalam kolam takungan banjir

Polis berkata, keluarga mangsa sebelum itu membuat laporan polis berkenaan kehilangan 
si mati di Balai Polis Tambun, Ipoh. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)

IPOH: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ditemui mati terapung dalam kolam takungan banjir Sungai Pinji Taman Indah, Tanjung Rambutan, Perak, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa Daniel Lau Khai Wen, 25, yang berpakaian baju-t merah itu ditemui seorang lelaki yang mahu memancing di kawasan berkenaan kira-kira 6 petang.

“Pemeriksaan awal pihak bomba mengesyaki mangsa meninggal dunia sejak dua hari lepas dan pengecaman mayat disahkan oleh bapanya.

“Pihak keluarga sebelum itu membuat laporan polis berkenaan kehilangan si mati di Balai Polis Tambun,” katanya semalam.

Beliau berkata, adik mangsa memaklumkan si mati amat sedih dan marah kerana bertengkar dengan ibunya dan memberitahu ingin keluar dari rumah serta tidak ingin tinggal bersama-sama keluarga.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk proses prosedur Covid-19 dan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Tiada ulasan: