Ahad, 17 Januari 2021

JKR buka mulut berhubung ‘ribuan lubang’ di jalan raya

Seorang warga emas terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar 
lubang jalan raya berdekatan Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur pada 3 Jan 
tahun lepas. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Jalan raya di Malaysia yang semakin uzur dan ditambah pula dengan kekurangan dana dikenal pasti sebagai antara sebab utama berlubang, kata Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ia juga berkata, usaha ini dihadkan oleh dana yang tidak mencukupi untuk membina jalan baharu, hujan lebat dan banjir, operasi perkhidmatan utiliti di bawah jalan raya dan kenderaan yang terlalu banyak.

Isu jalan berlubang, yang merupakan masalah berterusan di negara ini, timbul kembali akhir tahun lalu selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin cedera kerana terjatuh ketika menunggang basikal.

Beliau memuat naik gambar lubang di jalan, kecederaan yang dialami dan basikalnya yang rosak di media sosial.

Hantaran itu menjadi tular, sekali gus memaksa JKR meminta maaf.

Persoalan berkaitan kualiti kerja kontraktor dan subkontraktor yang ditugaskan menyelenggara jalan raya turut dipersoalkan berikutan laporan bahawa jalan berlubang menjadi punca kematian seorang penunggang motosikal berusia 75 tahun di Kuala Lumpur pada Jan lepas.

Ia timbul semula sembilan kali dalam tempoh empat bulan.

Dalam e-mel kepada FMT, jabatan itu berkata, semua kerja penyelenggaraan jalan mengikut spesifikasi standard yang diperincikan dalam kontrak.

Setelah kerja selesai, ia diaudit oleh jabatan berkaitan.

JKR mengaudit kerja penyelenggaraan jalan di semua jalan persekutuan dan negeri, sementara majlis tempatan mengaudit jalan di bawah bidang kuasa mereka.

“Begitu juga dengan jalan raya lain yang dimiliki agensi lain seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran dan sebagainya.

Menurut JKR, tahun lalu sahaja sebanyak 168,003 lubang diturap di sepanjang 14,385 km jalan persekutuan di Semenanjung.

JKR berkata, di bawah kempen “Aku Janji Zero Pothole”, semua lubang akan diperbaiki dalam masa 24 jam setelah dilaporkan atau dikesan walaupun pihaknya kini dalam usaha memanfaatkan teknologi dalam meningkatkan usaha pengesanan, termasuk menggunakan IT dan kamera kereta.

“Kami juga memperkenalkan memperkenalkan sistem “weigh in motion” (WIM) untuk mengesan dan merakam berat gandar dan kenderaan ketika ia bergerak melepasi tapak pengukuran.

“Rekod ini akan dikongsikan dengan pihak berkuasa lain, seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan selanjutnya.”

JKR juga bekerjasama rapat dengan sektor swasta untuk menginovasi dan menggunakan bahan, peralatan, dan prosedur baharu mengikuti standard global, katanya.

Tiada ulasan: