Ahad, 24 Januari 2021

Kes Covid-19 naik mendadak, Penjara Bentong diletak bawah PKPD

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong, Pahang 
dikuatkuasakan bermula 25 Jan hingga 8 Feb.

PETALING JAYA: Kerajaan akan mengenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong, Pahang dan kuarters kakitangannya bermula tengah malam ini susulan peningkatan jangkitan Covid-19 secara mendadak di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kawalan ketat itu dilaksanakan dari 25 Jan hingga 8 Feb bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) membuat saringan serta pegesanan kontak rapat.

“Sehingga kini, sebanyak 615 kes positif direkod melibatkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga.

“KKM turut mengesahkan berlaku peningkatan kes mendadak jangkitan Covid-19 dalam masa singkat dalam kalangan tahanan penjara ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata jumlah individu melanggar SOP masih tinggi dengan 550 ditahan polis semalam yang mana 499 dikompaun, 42 direman manakala sembilan lagi dijamin.

“Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (130), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (112), tiada penjarakan fizikal (68), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (44) dan lain-lain (142),” katanya.

Beliau berkata, menerusi Op benteng pula pihak berkuasa menahan 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua bot serta lima kenderaan darat.

Sementara itu, Ismail memaklumkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan 1,340 pemeriksaan khas PKP semalam, yang mana 1,306 premis mematuhi SOP manakala 34 lagi diberikan nasihat.

Tiada ulasan: