Rabu, 6 Januari 2021

Kes Covid-19 dijangka meningkat 1-2 minggu akan datang .

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan kes positif harian akan meningkat dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang susulan negara merekodkan kes jangkitan dan kluster tertinggi hari ini.

Dalam sidang media, beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membentangkan strategi dan tindakan baru sebelum ia dilaksanakan.

“Trend terkini menunjukkan peningkatan ketara dan negara merekodkan empat digit kes baru setiap hari selepas kerajaan melonggarkan aktiviti rentas negeri bermula 7 Dis lalu.

“Walaupun kita dapat elak lonjakan kes yang tinggi, namun kita tidak berjaya turunkan RT di bawah paras 0.5,” katanya.

Dalam pada itu, melihat kepada pertambahan kes positif setiap hari, KKM kini sedang dalam perbincangan dengan MKN untuk menempatkan warga Malaysia yang didapati positif di pusat kuarantin di hotel yang sudah ditetapkan.

“Namun, terpulang kepada mereka yang berkemampuan untuk membayar kos kuarantin.

“Untuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), kita akan beri keutamaan kepada warga asing yang positif, dan tiada tempat kuarantin sesuai untuk mereka,” katanya.

Malaysia melaporkan kes harian tertinggi iaitu 2,593 kes dan 13 kluster baru dalam tempoh 24 jam lalu, tertinggi dicatatkan setakat ini.

Tiada ulasan: