Selasa, 19 Januari 2021

Kelantan tarik balik arahan buat ujian saringan untuk masuk negeri

Malaysiakini

Kerajaan Kelantan menarik balik arahan wajib menjalani ujian saringan Covid-19, pemakaian gelang merah jambu serta kuarantin terhadap individu yang masuk ke negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin, berkata ini kerana hampir semua negeri kini berada dalam zon merah termasuk Kelantan sendiri.

Selain itu, dia juga berkata ada kekangan kewangan kepada individu yang mahu masuk ke Kelantan kerana kos ujian saringan agak tinggi terutama di hospital swasta.

"Kita tarik balik arahan berkenaan kerana berlaku kesukaran. Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di mana-mana lokasi tidak mempunyai kakitangan yang cukup untuk buat ujian saringan dan hospital serta klinik kerajaan juga tidak akan buat ujian bagi mereka yang tidak bergejala.

"Untuk ke hospital swasta sudah tentu mahal dan disebabkan itu kita tarik balik arahan berkenaan. Justeru, perantau yang masuk ke Kelantan tidak perlu buat ujian swab, pakai gelang merah jambu dan kuarantin.

"Tetapi kita memohon kepada semua penduduk Kelantan atau mereka yang pulang ke kampung untuk patuh prosedur operasi standard (SOP) supaya kita dapat bendung pandemik Covid-19," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas Covid-19, di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Pada 12 Jan lalu, kerajaan Kelantan menetapkan individu dari luar yang mempunyai keperluan untuk masuk ke Kelantan ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dan mengemukakan keputusannya.

Ia sebagai pendekatan bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri itu yang semakin meningkat sejak akhir bulan lalu.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP akan turut dikuatkuasakan di Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan, bermula 22 Jan.

Ini bermakna PKP kali kedua ini akan dikuatkuasakan di seluruh negeri, kecuali Sarawak.

Mngulas lanjut, Adun Kijang itu berkata kepulangan perantau ke Kelantan pada cuti sempena perayaan Krismas Disember lalu antara faktor utama kes Covid-19 di negeri itu meningkat secara mendadak.

Katanya, jumlah kes sepanjang sembilan bulan pada tahun lalu hanya lebih 800 kes berbanding dua minggu tahun ini yang sudah merekodkan 1,032 kes.

"Saya merayu kepada individu di negeri ini yang mempunyai masalah selesema, demam atau batuk supaya tidak keluar bekerja serta berjumpa dengan individu lain bagi mengelak kes Covid-19 ini semakin merebak.

"Kita tidak tahu sama ada gejala yang dialami itu hanya demam biasa atau pun disebabkan Covid-19. Pada masa ini kontak dengan individu yang positif sangat tinggi," katanya.

Dr Izani juga menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kepatuhan penduduk Kelantan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang menurutnya masih berada di tahap lemah.

Ujarnya, situasi itu boleh dilihat terutama di pasaraya dan pasar basah dan itu menggambarkan masyarakat negeri itu seperti tidak risau dengan peningkatan kes Covid-19.

Tiada ulasan: