KUANTAN: Mayat remaja perempuan yang menjadi mangsa bot terbalik di Sungai Jelai, Lipis, Isnin lalu ditemui pagi tadi kira-kira 11km dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Lipis, Azli Mohd Noor berkata, mayat Nur Zakirah Ahmad Hussin, 19, yang merupakan korban keenam banjir Pahang, ditemui di bawah jambatan kereta api Bukit Betong, Padang Tengku, oleh penduduk kira-kira 11 pagi tadi sebelum melaporkannya kepada polis.
“Berikutan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat melibatkan 35 pegawai dan anggota polis, bomba serta dibantu orang kampung ditamatkan pagi tadi,” katanya menerusi kenyataan.
Zakirah dilaporkan hilang selepas terjatuh apabila bot dikemudi bapanya, Ahmad Hussin Mad Aris, 52, terbalik akibat arus deras menyebabkan mangsa dan ibunya, Rozi Omar, 52, hilang. Mayat Rozi ditemui Selasa lalu.
Hussin dan seorang lagi anaknya, Nur Aina, 23, berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut.
Kejadian itu dilaporkan berlaku semasa mereka menaiki bot pulang ke rumah di Bukit Betong bagi meninjau keadaan banjir di rumahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan