Jumaat, 8 Januari 2021

Agong tinjau banjir Pahang, santuni mangsa di PPS

BH ONLINE
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah berkenan meninjau keadaan banjir di Lipis dengan menaiki helikopter TUDM - Foto Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah berkenan meninjau keadaan banjir di Lipis dengan menaiki helikopter TUDM - Foto Istana Negara

KUANTAN: Keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, terhadap mangsa banjir terus terserlah apabila baginda berkenan meninjau keadaan banjir di Pahang menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hari ini.

Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Seri Paduka berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan dengan menaiki pesawat EC725 pada jam 9 pagi tadi dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Al-Sultan Abdullah dijadualkan mendarat di Kuala Lipis untuk menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Clifford dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa.

Pemandangan daripada udara, keadaan sekitar Kampung Raja Temerloh yang tenggelam banjir berikutan limpahan air Sungai Pahang dan air Sungai Semantan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Pemandangan daripada udara, keadaan sekitar Kampung Raja 
Temerloh yang tenggelam banjir berikutan limpahan air Sungai 
Pahang dan air Sungai Semantan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

"Selepas di Lipis, Yang di-Pertuan Agong akan ke Mentakab dan Temerloh juga untuk menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab serta PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh," menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang dari Istana Negara, kelmarin, bagi meninjau keadaan banjir di Pahang dengan memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah banjir di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

Daerah Maran yang teruk terjejas akibat banjir, menjadi lokasi pertama Al-Sultan Abdullah mencemar duli melawat mangsa banjir dengan diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sebelum berangkat ke Kuantan.

Sementara itu ketika mencemar duli mengadakan lawatan mengejut untuk menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kempadang pula, Tunku Azizah berkenan menyediakan masakan sayur dan kari sardin sebagai tambahan kepada ayam masak merah serta ikan masin, sebelum kesemuanya dibungkus dan turut diagihkan ke beberapa PPS sekitar daerah terbabit. – BERNAMA

Tiada ulasan: