Selasa, 19 Januari 2021

Agong: Ketepi perbezaan untuk lawan Covid-19

Malaysiakini

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya rakyat mengenepikan perbezaan politik, bangsa dan agama, bagi memerangi Covid-19 yang berterusan mencatatkan kes positif harian empat angka, sejak hujung tahun lepas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka Baginda yakin, dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, negara mampu untuk sekali lagi melandaikan lekuk kes jangkitan Covid-19, sekali gus meringankan beban dipikul petugas barisan hadapan.

Menurutnya baginda menzahirkan kegusaran, melihat peningkatan keperluan rawatan rapi dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) khususnya di Lembah Klang, yang mencatatkan kenaikan mendadak kes-kes positif.

“Berikutan peningkatan keperluan rawatan rapi dan penggunaan katil ICU ini, pesakit-pesakit jangkitan Covid-19 yang kritikal, terpaksa ditempatkan di hospital-hospital kerajaan yang lain, dan ini boleh menjejaskan rawatan pesakit-pesakit bukan Covid-19 yang lain,” titah Al Sultan Abdullah menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Semalam, negara merekodkan sebanyak 3,306 kes jangkitan Covid-19 baru, manakala 15 hospital Covid-19 dilaporkan mencatatkan kadar penggunaan katil Covid-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus.

Tiada ulasan: