Sabtu, 2 Januari 2021

347 ditahan hari terakhir 2020, dengan ramai degil di pusat hiburan

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Seramai 347 individu ditahan Task Force Operasi Pematuhan atas pelbagai kesalahan prosedur operasi standard (SOP) pada hari terakhir 2020 di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 337 dikompaun manakala 10 lagi direman dengan kes paling tinggi direkodkan kerana aktiviti di pusat hiburan sebanyak 135 kes.

“Ini diikuti tidak memakai pelitup muka (109), gagal mematuhi arahan penjarakkan fizikal (54), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, sejumlah 2,397 pasukan pematuhan meliputi 10,633 anggota memantau 3,025 pasar raya, 4,234 restoran, 1,472 penjaja, 919 kilang, 3,016 bank dan 654 pejabat kerajaan.

Turut dipantau pasukan tersebut semalam ujar beliau lagi, ialah sebanyak 889 terminal pengangkutan darat, 164 terminal pengangkutan air dan 86 terminal pengangkutan udara.

Sejumlah 31 pendatang asing tanpa izin ujarnya, ditahan di seluruh negara melalui Operasi Benteng bagi kekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan wabak Covid-19.

“Lima buah kenderaan darat juga dirampas manakala sebanyak 110 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” jelas Ismail Sabri.

Menyentuh kuarantin wajib ujarnya, sehingga semalam seramai 7,440 individu balik ke tanah air sedang menjalani proses itu, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Sejumlah 87,486 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 77 buah hotel serta 16 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

 Sementara itu, pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di 10 tapak binaan semalam turut mendapati kesemuanya adalah mematuhi peraturan SOP ditetapkan. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: