Rabu, 20 Januari 2021

32,386 calon SPM, STPM, STAM di Kedah mulakan sesi persekolahan

Abdul Hadi Che Awang
 
32,386 calon SPM, STPM, STAM di Kedah mulakan sesi persekolahan
JPN Kedah beri jaminan setiap arahan kerajaan terutama dalam sesi 
persekolahan norma baharu dapat dipatuhi kumpulan yang terlibat.
 
ALOR SETAR: Seramai 32,386 calon perperiksaan awam bagi tahun 2020 termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) semester 1 dan 3 serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di negeri Kedah memulakan sesi persekolahan hari ini.
 
Menurut Exco Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad, jumlah itu merangkumi 25,876 calon SPM, 3053 calon STPM semester 1, 3095 calon STPM Semester 3 dan 362 calon STAM melibatkan sembilan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri itu.
 
Jelas beliau, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memberi jaminan bahawa setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan terutama dalam sesi persekolahan norma baharu dapat dipatuhi kumpulan yang terlibat dalam sesi kali ini dengan sebaiknya.
 
"Daripada pemerhatian saya, bahawa sekarang sudah jadi macam norma biasa kepada student, mereka sendiri sudah dapat mengawal diri dan menjaga diri mereka, itu satu perkembangan yang baik dalam kalangan pelajar tu,
 
"(Pematuhan terhadap) penjarakan fizikal okey, pematuhan (SOP) keseluruhan alhamdulillah, memang disediakan, ada pihak sekolah sendiri yang ambil inisiatif sanitizer dan sebagainya," katanya lagi.
 
Najmi berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Omar, Alor Setar pada Rabu.
 
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan agar kesemua pelajar serta pihak pengurusan sekolah dapat mematuhi setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang sesi persekolahan berlangsung.
 
Menurutnya, pelajar juga diharapkan agar sentiasa kuat dari segi fizikal dan mental dalam menghadapi tempoh yang sangat sukar ketika ini.

Tiada ulasan: