Sabtu, 23 Januari 2021

2,000 usahawan dapat manfaat tangguh bayaran, diskaun PUNB

Mohd Zaini Samsu Hadi
baru-punb
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)

KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) hari ini mengumumkan pemberian penangguhan bayaran pembiayaan ke atas prinsipal dan diskaun sebanyak 50 peratus terhadap sewa premis perniagaan agensi itu selama enam bulan berkuatkuasa pada 1 Januari hingga 30 Jun depan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan proaktif PUNB itu adalah bagi membantu usahawan agar kekal berdaya tahan dan berdaya saing ketika pandemik Covid-19 masih menular di negara ini.

Beliau berkata, penangguhan pembayaran pembiayaan itu hanya terpakai ke atas prinsipal sahaja, manakala kadar keuntungan yang sudah ditetapkan perlu dibayar seperti biasa setiap bulan.

“Semua Rakan Usahawan PUNB yang telah mendapat penangguhan pembayaran pembiayaan bagi tempoh April hingga Disember secara automatik layak menerima inisiatif ini.

“Pemberian penangguhan pembayaran pembiayaan ke atas prinsipal bagi Januari hingga Jun 2021 ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 2,000 Rakan Usahawan PUNB melibatkan kutipan sebanyak RM110 juta,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Noh memberitahu, sebanyak 226 penyewa premis perniagaan PUNB di seluruh negara layak menerima diskaun sewa sebanyak 50 peratus itu bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari lalu dengan melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM2.5 juta.

“Saya berharap inisiatif yang diperkenalkan ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Rakan Usahawan PUNB dan penyewa premis perniagaan PUNB kerana ramai daripada mereka masih dalam proses untuk pulih dan kembali berdaya saing,” ujarnya.

MGF050920_DEMONSTRASI-PENCEMARAN-AIR-4
Tan Sri Noh Omar

Pada tahun lalu, PUNB mengumumkan pemberian inisiatif penangguhan pembayaran pembiayaan perniagaan bermula 1 April sehingga 31 Disember 2020 melibatkan kutipan sebanyak RM155 juta.

Selain itu, PUNB turut memberi pengecualian sewa bermula 1 April hingga 30 September 2020 terhadap 220 premis perniagaan milik PUNB dengan anggaran kutipan sewa sebanyak RM5.3 juta.

Ia kemudiannya diikuti dengan pemberian diskaun sewa sebanyak 50 peratus bagi tempoh 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020 melibatkan anggaran kutipan sewa sebanyak RM1.37 juta. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: