Sabtu, 23 Januari 2021

18 PATI dicekup di Teluk Ramunia

PATI
Sebahagian daripada PATI yang ditahan dalam Op Benteng di perairan Teluk Ramunia pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menyelinap masuk secara haram ke negara ini dicekup dalam Op Benteng di perairan Teluk Ramunia pagi tadi.

Markas Divesyen Ketiga Infantri Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua mereka berusia 28 hingga 51 tahun ditahan selepas Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang berfungsi sebagai sistem rangkaian radar 24 jam telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan menghala ke arah Teluk Ramunia.

Pasukan telah mengatur gerakkan tim Quick Reaction Force (QRF) dan Tim Drone Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ke lokasi untuk membuat penjejakan dan mengepung kawasan tersebut antara pukul 2.15 pagi hingga 10.50 pagi, katanya.

“Hasil serbuan pada pukul 2.15 pagi telah berjaya menahan lapan PATI yang sedang bersembunyi di kawasan berkenaan.

“Seterusnya pada pukul 7 pagi, seorang lagi PATI ditahan berhampiran kawasan tersebut. Manakala sembilan lagi PATI telah ditahan pada pukul 10.50 pagi,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM16,918.91 melibatkan wang tunai matawang ringgit Malaysia dan mata wang Indonesia, telefon bimbit, jam tangan serta barangan kemas.

Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.

Laporan Polis dibuat di Balai Polis Bayu Damai dan pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: