Saturday, July 25, 2020

Warga Bangladesh ditemubual Al Jazeera akan diusir, disenarai hitam

Wartawan MalaysiaGazette
bangla-3
Md Rayhan Kabir

KUALA LUMPUR – Lelaki warganegara Bangladesh yang ditemubual agensi berita, Al Jazeera dalam dokumentari tentang pendatang asing 101 East : ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud yang mengesahkan penangkapan Md Rayhan Kabir semalam berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada risikan dan buruan berterusan selama dua minggu.

“Warganegara Bangladesh ini akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, Md Rayhan ditahan oleh sepasukan Pegawai Imigresen dari Unit Risikan Operasi JIM Putrajaya pada pukul 5.45 petang semalam di Setapak, Kuala Lumpur.

Rayhan diburu pihak berkuasa selepas mendakwa dalam dokumentari itu bahawa pendatang asing dianiaya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan baru-baru ini.

Dokumentari yang berdurasi 25 minit 50 saat itu dikritik rakyat Malaysia memandangkan ia mengecam layanan kerajaan terhadap pendatang tanpa izin ketika negara melaksanakan langkah-langkah penularan Covid-19. – MalaysiaGazette

No comments: