KUALA LUMPUR: Tindakan seorang bapa yang sering mendera anak perempuan kandungnya sejak 4 tahun lepas di sebuah rumah di Sungai Jelok, Kajang terbongkar selepas polis menerima laporan mengenainya Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan sejurus laporan dibuat remaja berusia 16 tahun itu kira-kira 6.15 petang.
“Dalam kejadian pada 4 Julai lepas, mangsa mendakwa dicederakan bapanya di rumah menggunakan rotan dan dicucuh colok yang masih terbakar pada kaki, termasuk tapak kaki kerana keluar rumah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, mangsa dipercayai didera sejak berusia 13 tahun dan suspek mengesyaki remaja itu mencari ibunya kerana ibu bapanya berpisah sejak 2009.
“Mangsa bertindak keluar dari rumah dan mengadu kepada rakannya berhubung perbuatan suspek sebelum membuat laporan di balai polis Kajang.”
Katanya, suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing direman 3 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
No comments:
Post a Comment