Friday, July 24, 2020

Pelitup muka bukan untuk kanak-kanak bawah dua tahun

Oleh Azman Bin Ibrahim

pelitup
Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang akhbar harian perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya pada 23 Julai 2020. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA PEMBERITA : AZMAN / AQILAH (BIRO
PUTRAJAYA)

PUTRAJAYA: Pelitup muka bukan perubatan tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak berumur kurang daripada dua tahun.

Pelitup berkenaan juga tidak boleh dipakai oleh mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, kurang upaya atau tidak dapat menanggalkan pelitup separuh muka tanpa bantuan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, alat itu perlu dipakai dengan betul dan menutupi ruang hidung sehingga dagu.

“Pemakaian tidak sempurna dengan membiarkan ia tergantung di leher, dahi, atau menutupi sebahagian daripada hidung dan mulut adalah tidak bertepatan dan membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.

“Nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia adalah pakailah facemask dengan kaedah yang betul,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, penggunaan pelitup separuh muka bagi tujuan bukan perubatan adalah disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala, namun, berada di tempat-tempat di mana Covid-19 tersebar luas dan penjarakan sosial sukar diamalkan.

Sebagai contoh, Noor Hisham berkata, penggunaan untuk golongan pekerja seperti pekerja sosial, juruwang, pelayan serta lain-lain.

“Orang yang sihat berada di tempat awam seperti pengangkutan awam, tempat kerja, kedai runcit dan persekitaran yang sesak.

“Untuk pelitup separuh muka bukan perubatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan jenis fabrik atau kain dengan tiga lapisan,” ujarnya. – UTUSAN

No comments: