SIKAP ambil mudah kerana memikirkan wabak Covid-19 hampir tamat menyebabkan ada segelintir masyarakat leka seolah-olah negara sudah bebas daripada jangkitan itu.
Malah, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memasuki hari ke-38 hari ini membuatkan ada antara masyarakat semakin alpa apatah lagi jumlah individu yang sembuh daripada jangkitan Covid-19 terus meningkat.
Tinjauan Harian Metro di Pasar Payang 2, Kuala Terengganu mendapati segelintir masyarakat mengambil mudah dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti penjarakan sosial dan bersesak-sesak di kawasan berkenaan.
Difahamkan, kesesakan hanya berlaku pada hujung minggu sekali gus menyebabkan beberapa SOP ditetapkan terutama penjarakan sosial tidak dipraktikkan sepenuhnya, menjadikan keadaan agak kelam kabut.
Pengunjung, Norman Affendy Abd Manan, 40, yang melancong ke negeri ini bersama lima ahli keluarganya antara yang dilihat mengamalkan penjarakan sosial selain pemakaian pelitup muka,
"Saya bersama isteri, tiga anak dan ibu datang ke sini untuk bercuti dan tak lengkap rasanya jika tidak berkunjung ke Pasar Payang 2.
"Sebab itu, kami semua pakai pelitup muka walaupun ia tidak wajib dan mematuhi SOP ditetapkan. Semua petugas barisan hadapan sudah berusaha sebaik mungkin untuk mengekang Covid-19 dan sekarang ini tanggungjawab kita pula untuk patuh pada arahan.
"Sedih juga bila ada yang pandang remeh isu ini ketika barisan hadapan berhempas pulas memerangi wabak ini," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.
Bagi peniaga baju, Rohana Mohd, 53, berkata, suasana di Pasar Payang 2 hanya sesak pada cuti hujung minggu dan tidak dinafikan sukar untuk membuatkan pengunjung mematuhi SOP.
"Memang ada pemeriksaan suhu badan dan nama diambil sebelum pengunjung masuk namun apabila berada di dalam premis, susah sikit untuk kita kawal.
"Kita boleh nasihat minta patuh SOP dengan amalkan penjarakan sosial, pakai pelitup muka namun ia terpulang pada diri masing-masing," katanya.
Seorang lagi peniaga, Wan Muhammad Khaidir Wan Hashim, 34, berkata, tidak semua pengunjung ingkar arahan ditetapkan kerana ada yang masih berjaga-jaga.
"Berdasarkan pemerhatian saya, ada pengunjung yang ikut arahan dan sebaliknya tetapi kita sebagai peniaga tetap ikut SOP ditetapkan sebab kita tahu virus ini tidak ada ubat dan boleh bawa maut," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadli Yusof Zakaria berkata, penguat kuasa memang ditempatkan untuk mengawal kawasan di Pasar Payang 2 bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP.
"Walaupun kini kita di fasa PKPP, tetapi ada SOP yang perlu dipatuhi dan penguat kuasa memanbg ditempatkan untuk membuat pemeriksaan suhu badan dan mengambil nama serta nombor telefon pengunjung.
"Jika diikutkan, keadaan di sini terkawal namun apabila hujung minggu berlaku sedikit kesesakan memandangkan keadaan di sini juga agak sempit.
"Pada masa sama, orang ramai juga perlu memainkan peranan masing-masing untuk memutuskan rangkaian Covid-19," katanya.
No comments:
Post a Comment