PETALING JAYA: Seorang pakar keselamatan bersetuju kerajaan segera menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam usaha mengurangkan kos pengurusan tahanan.
Pakar Kajian Strategik dan Anti-keganasan Universiti Malaysia Perlis Mizan Mohammad Aslam berkata, kos tinggi terpaksa ditanggung kerajaan setiap tahun bagi mengurus PATI sepanjang dalam tahanan sepatutnya boleh digunakan untuk membantu rakyat.
“Bebanan kewangan yang besar perlu ditanggung negara, RM3.5 hingga RM4 juta setiap bulan bersamaan lebih RM42 juta setahun adalah jumlah cukup besar bagi Malaysia.
“Jumlah sebesar ini sepatutnya boleh dibelanjakan untuk kesejahteraan
rakyat,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan dana besar itu juga
boleh diperuntukkan untuk pihak keselamatan negara memperkemas dan
menambah baik peralatan keselamatan termasuk yang uzur.
Mizan yang juga ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, selain menghantar pulang kaedah lain mungkin boleh digunakan kerajaan adalah meminta pihak negara PATI itu menanggung segala kos sepanjang berada dalam tahanan di Malaysia.
“Jika kerajaan tidak dapat menghantar PATI ini pulang atas pelbagai isu termasuk Covid-19 ketika ini, maka jalan lain ialah meminta kerajaan masing-masing menanggung segala kos berkaitan, ia boleh dilakukan melalui kedutaan masing-masing atau melalui 1 sekretariat khas yang diwujudkan atas persetujuan menteri atau perdana menteri negara terbabit. Platfrom seperti Asean juga boleh digunakan.
“Walaupun perkara ini tidak mampu dilakukan dalam sekelip mata, tetapi gerak kerja ke arah penyelesaian sebegini perlu dilakukan mulai sekarang.
“Jika persetujuan diperoleh, untuk jangka panjang masalah PATI akan dapat ditangani. Pasti negara yang terlibat tidak mahu menanggung kos tidak sepatutnya, maka mereka akan menyekat kemasukan PATI ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, penempatan PATI di depoh tahanan imigresen secara beramai-ramai juga berisiko tinggi termasuk berdepan penularan Covid-19.
“Mereka mempunyai pergaulan yang besar dan kehidupan tidak teratur. Sistem kehidupan yang kurang sesuai dan sesak ini dibawa ke dalam negara kita. Ini mengakibatkan penularan penyakit dalam kalangan PATI dan boleh dipindahkan kepada masyarakat sekeliling serta membahayakan petugas kesihatan serta keselamatan.
“Malah bukan saja Covid-19, penyakit seperti polio dan lain-lain berkemungkinan bawaan pendatang asing juga akan berlaku yang mana Malaysia sebelum ini bebas sepenuhnya daripada penyakit itu akan diserang semula oleh bawaan boleh jadi daripada kalangan PATI,” katanya.
Katanya, selain penyakit kehadiran PATI dalam masyarakat boleh menyebabkan lebih banyak masalah sosial termasuk percintaan dengan warga tempatan mengakibatkan anak luar nikah, buta huruf, judi, pelacuran, kemiskinan dan lain-lain.
“Juga pertambahan kes jenayah disebabkan keperluan untuk mereka terus hidup dalam negara ini. Maka ada antara mereka yang terpaksa menyara kehidupan dengan perbuatan jenayah termasuk culik, rompak, tebusan, rogol, bunuh dan lain-lain lagi,” katanya memaklumkan kehadiran PATI turut menambahkan lagi jumlah pengangguran dalam kalangan warga tempatan.
Katanya, rakyat negara ini yang terkesan dengan Covid-19 memerlukan pekerjaan dan ruang itu sepatutnya diisi oleh mereka berbanding PATI.
Mizan berkata, mekanisme yang sesuai dan bersistematik perlu diwujudkan supaya masalah PATI tidak berpanjangan di Malaysia.
“Satu pangkalan data yang bijak termasuk cop sepuluh jari, biasan retina dan bank data DNA (jika perlu) bagi setiap PATI perlu dimiliki dan dibangunkan. Kita tidak mahu PATI yang sama kembali ke negara ini dengan identiti berbeza. Ketirisan yang berlaku di negara mereka boleh merosakkan sistem keselamatan dalam negara ini melainkan dapat dibangunkan ‘profiling’ yang menyeluruh dan bijak.
“Pelbagai sistem dan pihak yang terlibat perlu diperkukuhkan, ditambah baik dan diwujudkan baru jika perlu supaya masalah ini dapat dielak. Malaysia terlalu berisiko dengan ketiadaan integriti dalam kalangan segelintir penjawat awam dan pihak berkaitan yang bersekongkol membawa masuk PATI,” katanya.
Semalam, ahli Parlimen Padang Serai M Karupaiya mengesyorkan kerajaan segera menghantar pulang PATI yang ditahan bagi mengurangkan kos pengurusan tahanan.
Katanya, setiap bulan kerajaan membelanjakan kira-kira RM3.5 juta atau RM42 juta setahun untuk menampung kos makanan tahanan di semua 14 depot imigresen.
“Daripada jumlah itu, kos bagi setiap tahanan adalah RM12 sehari. Ini semua duit rakyat. Kita semua kena fikir cara yang efektif untuk selesaikan masalah PATI,” katanya.
Mizan sebelum ini pernah mendedahkan pencerobohan PATI di perairan negara didalangi sindiket rakyat tempatan dan anggota agensi keselamatan yang dibayar RM1,000 bagi setiap warga asing.
Beliau turut menyifatkan sindiket itu pengkhianat negara yang mengaut keuntungan dengan menggadai keselamatan negara.
“Maklumat yang saya dapat, bayaran RM1,000 setiap kepala kepada pengkhianat ini. Maka 1 kapal yang dilepaskan mereka akan dapat laba RM250,000 hingga RM300,000,” katanya.
Pendedahan itu turut disusuli siri tangkapan PATI dan sindiket dari dalam dan luar negara membabitkan beberapa negeri di Malaysia.
No comments:
Post a Comment