Saturday, July 4, 2020

Najib perlekeh ‘bukti’ DAP berhubung dakwaan terhadap Raja Petra


Projek terowong dasar laut dan 3 lebuh raya bernilai RM6.3 bilion dirancang oleh
kerajaan Pulau Pinang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di jambatan pertama
negeri itu. (Gambar Fail)

PETALING JAYA: Najib Razak hari ini memperlekeh DAP berhubung kenyataan parti itu mempertahankan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang kini dalam siasatan pihak berkuasa.

Bekas perdana menteri itu berkata, fakta ke-3 daripada 5 yang disenaraikan oleh DAP mendakwa blogger pro BN, Raja Petra Kamaruddin (RPK) membuat tuduhan palsu berdasarkan dokumen palsu mengenai projek berkenaan.

DAP seterusnya mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat laporan polis terhadap RPK.

Parti itu kemudian berkongsi laporan oleh Malaysiakini sebagai “bukti” yang dakwaan mereka.

Bagaimanapun, Najib berkata perenggan pertama berita itu jelas menyatakan laporan polis yang dibuat oleh SPRM adalah kerana kebocoran kertas siasatan yang membabitkan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng dan pemimpin kanan DAP lain seperti disebut oleh RPK dalam blognya.

“Saya beri bukti bahawa DAP fikir rakyat dan penyokong mereka masih mudah ditipu dan hanya membaca tajuk berita sahaja,” katanya dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga berkata, laporan lain yang memetik sumber agensi anti rasuah berkenaan menidakkan dakwaan DAP.

Rabu lalu, sumber SPRM memberitahu FMT bahawa laporan polis yang dibuat oleh agensi itu adalah mengenai “kebocoran bukti” bukan kerana dokumen palsu.

Raja Petra menulis pendedahan yang didakwanya berdasarkan dokumen bocor daripada projek itu, membabitkan Guan Eng yang ketika itu merupakan ketua menteri Pulau Pinang dan beberapa anggota exco negeri, termasuk ketua menteri sekarang, Chow Kon Yeow, Abdul Malik Abul Kassim dan Lim Hock Seng.

Guan Eng menyaman Raja Petra kerana memfitnah atas tuduhan berkenaan. Beliau memperoleh penghakiman terus pada Februari tahun ini selepas blogger terbabit tidak menentang saman tersebut.

Baru-baru ini, SPRM memulakan semula siasatannya ke atas projek terowong itu dengan pegawainya menyerbu 3 syarikat, semalam, berikutan penahanan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.

Projek terowong dasar laut dan 3 jalan utama bernilai RM6.3 bilion diraancang oleh kerajaan Pulau Pinang untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di jambatan pertama negeri itu.

Terowong dasar laut sepanjang 7.2 km akan menghubungkan Jalan Pangkor Pulau Tikus dan Bagan Ajam di Butterworth.

Projek itu akan dimulakan pada 2023 jika kajian kebolehlaksanaannya didapati positif.

No comments: