Sunday, July 26, 2020

Kumpulan dari India rancang buka hospital kebajikan di Pulau Pinang menjelang 2025

Gambaran pelukis cadangan Hospital Amrita, iaitu cawangan Institut Sains
Perubatan Amrita bertempat di tanah besar Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Sebuah kumpulan kerohanian berpangkalan di India merancang untuk membuka sebuah hospital kebajikan dengan 500 katil bernilai RM2 bilion berhampiran jambatan ke-2 Pulau Pinang dan mampu menawarkan 2,000 pekerajaan apabila siap pada 2025.

Cadangan pembinaan Hospital Kebajikan Amrita merupakan idea tokoh keagamaan India, Mata Amritanandamayi atau lebih dikenali dengan panggilan Amma.

Beliau mendirikan sebuah hospital dengan 1,450 katil di Kerala pada 1998 dan kini membina sebuah lagi hospital di New Deldi dengan 2,000 katil.

Amma telah beberapa kali berkunjung ke negara ini sebagai sebahagian daripada program jelajahnya ke seluruh dunia dan menarik beberapa ratus orang yang menunggu berjam-jam untuk menerima pelukannya.

Hospital tersebut diletakkan di bawah Institut Sains Perubatan Amrita yang diasaskan oleh Amma, yang juga merupakan pemimpin kemanusiaan dan kerohanian yang mempunyai ramai pengikut di negara ini.

Pemegang amanah dan setiausaha agung Pertubuhan Penganut Mata Amritnanandamayi Malaysia K Kalidas berkata, rancangan awal bagi pembinaan Hospital Amrita yang pertama di Malaysia merangkumi pusat dialisis percuma dengan 250 stesen, 150 katil Unit Rawatan Rapi dan 100 katil biasa.

Bercakap kepada FMT beliau berkata, kos rawatan ditetapkan pada kadar menurun, iaitu pesakit membuat bayaran setakat kemampuan, yang biasanya merupakan peratusan kecil daripada kos perubatan.

“Hospital kami tidak bermatlamat keuntungan. Kami akan memeriksa latar belakang pesakit dan sekiranya mereka berdepan kesusahan, maka rawatan percuma diberikan.

“Hospital ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sebelah utara semenanjung. Ia akan menyediakan 2,000 pekerjaan kepada orang tempatan dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya.

Kalidas berkata, hospital baru Amrita itu akan mendapatkan kepakaran daripada hospital induknya di Kochi, India, yang menawarkan penjagaan perubatan lanjutan kepada golongan miskin dan tidak bernasib baik sejak 1998.

Beliau berkata, hospital kumpulan itu di India kini merupakan hospital rujukan di peringkat univesiti dan pengajaran yang merawat lebih 10 juta pesakit dan hampir 100,000 pesakit luar setiap tahun.

Pemegang amanah dan setiausaha agung Pertubuhan Penganut
Mata Amritnanandamayi Malaysia K Kalidas menunjukkan
pelan asas projek pembinaan hospital.

Kalidas berkata, mengambil kira penularan wabak Covid-19 kini, hospital baru itu bercadang mewujudkan sebuah unit penyakit berjangkit sebagai persediaan sekiranya berlaku wabak seperti sekarang pada masa depan.

“Fokus lebih besar kami ialah untuk merangsang ekonomi tempatan, dengan kontraktor dan peniaga kecil tempatan mendapat manfaat daripada pembinaan hospital ini.

“Kami adalah pertubuhan kerohanian yang mahu membantu golongan yang memerlukan, terutama sewaktu penularan meluas wabak Covid-19,” katanya.

Berhubung lokasi hospital beliau berkata, beberapa tempat di Seberang Perai selatan kini dipertimbangkan untuk tujuan, begitu juga lokasi di selatan Kedah dan utara Perak.

Kalidas berkata, tapak seluas 20 hektar akan digunakan untuk ruang komplek hospital berserta sebuah pusat latihan vokasional untuk 1,000 pelajar.

Sebuah firma arkitek terkenal berpangkalan di China, yang mahir dalam pembinaan hospital, telah mengemukakan pelan untuk projek itu, katanya.

Sekiranya kelulusan berkaitan diperolehi segera, Kalidas menjangka hospital itu boleh disiapkan dalam tempoh 2 tahun dan sedia beroperasi pada 2025.

No comments: