KUALA LUMPUR- Polis diarahkan untuk memburu kira-kira 1,400 individu yang telah menjalani perintah kuarantin di rumah tetapi gagal melakukan ujian saringan Covid-19 kedua.
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, individu-individu berkenaan jelas telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
“Mereka boleh diambil tindakan di bawah Akta 342 kerana melanggar SOP yang telah ditetapkan.
“Memang kerajaan membenarkan mereka menjalani kuarantin di rumah tetapi ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi antaranya pemakaian gelang tangan, melakukan ujian saringan Covid-19 selepas tamat tempoh kuarantin dan sebagainya.
“Selepas mereka menjalani saringan tersebut dan didapati bebas Covid-19, kita boleh potong gelang tangan tersebut dan ini bermakna mereka bebas untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan,” katanya semasa sidang media hari ini.
Tambah Ismail Sabri, sejak 10 Jun hingga semalam, seramai 7,611 orang telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Daripada jumlah itu, seramai 36 telah dibawa ke hospital kerana positif Covid-19 manakala bakinya diperintahkan menjalani kuarantin di rumah.
Ketika ditanya mengenai isu seorang remaja di bawah program Malaysia My Second Home yang dikatakan dinafikan untuk memasuki negara ini, Ismail Sabri menjelaskan, mereka perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum memasuki Malaysia atau perlu mengemukakan sijil bebas Covid-19 (fit to travel certificate) terlebih dahulu.
“Ini peraturan yang telah kita tetapkan. Masih ada rundingan yang sedang berjalan, mungkin pada masa akan datang, ianya akan diperbaiki tetapi buat masa sekarang, ini adalah peraturan yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment