Thursday, July 16, 2020

Jual aset Yayasan Selangor demi kurang beban hutang RM34 juta

Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri bercadang menggantikan aset dijual dengan aset
lebih berdaya saing dan menguntungkan, selain membaik pulih aset utama Yayasan
Selangor di Kampung Baru, Ampang Point dan Bukit Bintang.

SHAH ALAM: Menteri Besar, Amirudin Shari berkata aset Yayasan Selangor dijual kerana tidak ekonomik.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan langkah penstrukturan semula Yayasan Selangor, termasuk mengurangkan beban hutang penyewaan dan pembiayaan pengajian berjumlah RM34 juta.

“Unit yang dijual ini sebahagian besarnya untuk penyusunan semula Yayasan Selangor dan tiada kaitan dengan impak Covid-19.

“Kita akan struktur semula masalah legasi lampau Yayasan Selangor, iaitu sejak 1990 yayasan menanggung hutang penyewaan dan (pembiayaan) pengajian pelajaran berjumlah 34 juta,” katanya

pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau menjelaskan penjualan aset Yayasan Selangor yang dibangkitkan ketua pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail pada sidang itu semalam.

Rizam berkata, kerajaan negeri mahu menjual 77 aset Yayasan Selangor membabitkan pelbagai bangunan komersial dan rumah lebih RM45 juta.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, ketika ini, kos pentadbiran dan pengurusan aset terbabit mencecah RM2.9 juta berbanding kutipan sewa berjumlah RM123,000.

“Kita tidak boleh terus menanggung kerugian disebabkan ada juga aset-aset ini yang tidak disewa bertahun-tahun.”

Katanya, kerajaan negeri bercadang menggantikan aset dijual itu dengan aset lebih berdaya saing dan menguntungkan, selain membaik pulih aset utama Yayasan Selangor di Kampung Baru, Ampang Point dan Bukit Bintang.

“Kita juga bercadang memindahkan Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya ke Shah Alam, berikutan pengurusannya dibuat di sini.

“Menerusi langkah-langkah ini, diharap boleh beri keuntungan untuk dimanfaatkan dalam bidang pendidikan bagi Yayasan Selangor.”

No comments: