Friday, July 17, 2020

Jangan galak doktor lanjut latihan ke luar negara, kata persatuan perubatan

Ketika ini hanya ada 8,000 pakar di hospital kerajaan dan swasta di Malaysia.
(Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menggalakkan pegawai perubatan ke luar negara untuk menjalani latihan pakar kerana ia boleh menyebabkan negara kehilangan lebih ramai profesional berkemahiran tinggi.

Ini selepas Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, pegawai perubatan kontrak yang ingin mengikuti pengkhususan boleh melakukannya di luar negara dengan pembiayaan sendiri kerana mereka tidak layak mendapat biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan.

Presiden MMA Dr N Ganabaskaran berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Adham kerana latihan pakar di Malaysia hampir sepenuhnya bergantung pada sistem hospital Kementerian Kesihatan dan platform latihan universiti.

Katanya, menggalakkan doktor meninggalkan negara untuk menjalani latihan akan menyaksikan hanya segelintir daripada mereka kembali berkhidmat di Malaysia.

Katanya, rakyat Malaysia dihargai di luar negara kerana etika kerja dan kemampuan bertutur dalam beberapa bahasa.

“Kekurangan ketika ini bagi doktor muda adalah peluang untuk melanjutkan latihan ke peringkat lebih tinggi seperti yang mereka inginkan.

“Pekerja berkemahiran tinggi profesional di Malaysia dilihat semakin berkurangan tahun demi tahun, dan jika kita terus ‘sombong’, kita mungkin akan kehilangan lebih banyak lagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, negara memerlukan 13,000 pakar tahun ini dan ketika ini hanya ada 8,000.

Katanya, hanya 51 hospital kerajaan yang kebanyakannya di bandar besar mempunyai pakar.

“Bagi menjamin bidang kesihatan negara, kita perlu memastikan peluang sama rata bagi doktor muda melanjutkan latihan mereka dan terus berkhidmat untuk rakyat Malaysia,” katanya.

No comments: