Sunday, July 19, 2020

Hukuman penjara mandatori 20 tahun lebih berkesan cegah kes pemandu mabuk, kata aktivis

Kerajaan juga mencadangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemandu
mabuk yang disabitkan bersalah digantung lesen memandu sehingga 20 tahun. (Gambar
Bernama)

PETALING JAYA: Seorang aktivis sosial memuji cadangan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat yang disifatkannya memadai untuk menyedar dan menakutkan masyarakat supaya lebih peka terhadap bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Lee Lam Thye berkata, jika hukuman penjara sehingga 20 tahun dijadikan mandatori, ia lebih berkesan berbanding denda maksimum RM150,000 untuk mencegah kes kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk yang semakin membimbangkan daripada berlarutan.

“Saya rasa paling penting dan akan membawa mesej serius kepada masyarakat ialah aspek tentang hukuman penjara.

“Bayangkan kalau undang-undang ini diluluskan bererti hukuman penjara dikenakan secara wajib. Jadi, bila kes dirujuk ke mahkamah, hakim tidak ada pilihan melainkan kenakan hukuman penjara, ia adalah satu faktor utama yang boleh mencegah kes pemandu mabuk pada masa akan datang.

“Kalau denda saja tidak memadai, tapi bila hukuman penjara diwajibkan itu yang sangat penting dan ramai akan takut kepada undang-undang ini apabila seseorang disabit bersalah,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dilaporkan berkata, cadangan hukuman berat itu dan penggantungan lesen memandu sehingga 20 tahun antara pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dijadualkan dibentang pada sidang Parlimen sedang berlangsung.

Katanya, kerajaan sedia menurunkan had kandungan alkohol dibenarkan ketika memandu mengikut ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) daripada 35mg dalam 100ml nafas kepada 22mg, 80mg dalam 100ml darah kepada 50mg atau 107mg dalam 100ml air kencing kepada 67mg.

Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan sedia ada hanya memperuntukkan denda minimum RM1,000 dan tidak melebihi RM6,000 atau penjara sehingga 12 bulan ke atas pemandu mabuk.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, Seksyen 44 akta sama memperuntukkan denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan jika sabit kesalahan.

Tanggungjawab pengusaha premis

Selain hukuman berat, Lee berkata, pengusaha premis yang menjual alkohol perlu mengambil tanggungjawab bersama memberi kesedaran kepada pelanggan mengenai bahaya memandu dalam keadaan mabuk.

Beliau bersetuju dengan cadangan Wee untuk peniaga menasihati pelanggan mabuk tidak memandu, sebaliknya menggunakan perkhidmatan teksi atau e-hailing.

“Saya rasa pengusaha premis ada tanggungjawab membantu mendidik dan menasihati pelanggan.

“Kalau ada pelanggan minum dan mabuk, pengusaha boleh bantu mereka panggil teksi/e-hailing supaya mereka boleh dihantar pulang bagi mengelakkan mereka memandu dalam keadaan mabuk yang boleh membahayakan nyawa orang lain.”

Katanya, kempen kesedaran di media sosial juga perlu diperluaskan dan dibuat secara berterusan menggunakan kaedah lebih kreatif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai seperti kefahaman mereka mengenai bahaya pandemik Covid-19.

“Kita minta Kementerian Komunikasi dan Multimedia, termasuk media memperbanyakkan program kesedaran mengenai bahaya memandu dalam keadaan mabuk.

“Saya harap kita boleh mencari jalan lebih inovatif mendidik orang ramai yang mereka ada tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesihatan.”

No comments: