SANDAKAN: Pembukaan semula sesi persekolahan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar, khususnya di luar bandar yang berdepan masalah capaian internet untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.
Beliau berkata, walaupun kementerian berusaha mencari jalan untuk menangani masalah itu, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sesi persekolahan secara beperingkat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19.
“Kami sedar mengenai kekangan dihadapi pelajar di luar bandar. Selain (akses) internet, kebanyakan pelajar tidak mempunyai gajet seperti komputer riba yang boleh mereka gunakan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
“Jadi, kami (kerajaan) memutuskan membuka semula sesi persekolahan kerana tahu banyak pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, tidak dapat berkomunikasi dengan guru atau menerima bahan pembelajaran walaupun pelbagai usaha diambil untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Fajar di sini, hari ini.
Dalam rangka lawatan 2 hari beliau ke Sandakan, Radzi berkata, beliau melawat beberapa sekolah di daerah itu dan berpuas hati mereka mematuhi SOP sepanjang 3 fasa pertama pembukaan sekolah, termasuk pengendalian asrama.
Pembukaan semula sesi persekolahan bermula dengan pelajar Tingkatan 5 dan 6 atas pada 24 Jun, diikuti prasekolah pada 1 Julai serta Tingkatan 1 hingga 4 dan Tingkatan 6 rendah dan murid Tahun 5 dan 6 pada 15 Julai, manakala murid Ttahun 1 hingga 4 dijadual kembali ke sekolah pada 22 Julai.
No comments:
Post a Comment