Menteri Kewangan dalam program bual bicara di sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini menyatakan Kerajaan dijangka akan membentang Belanjawan 2021 pada bulan November.
Keperluan pembentangan belanjawan ini selari dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia artikel 99 (Penyata Kewangan Tahunan) dan Seksyen 16 Akta tatacara Kewangan 1957 (Penyata Akaun Tahunan). Belanjawan Negara juga merupakan satu dokumen penting yang menjadi rujukan kepada kerajaan untuk mentafsirkan kesemua polisi dan projek kerajaan dalam bentuk Ringgit Malaysia.
Selain daripada peruntukan belanjawan untuk sektor ekonomi, antara skop belanjawan yang menjadi tumpuan utama pembayar cukai negara adalah insentif yang diberikan kepada penjawat awam.
Pada suku ketiga tahun 2019, negara merekodkan 1.7 juta rakyat Malaysia yang berkhidmat di pelbagai sektor kerajaan di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan badan berkanun persekutuan dan negeri.
Dianggarkan 62 peratus daripada 1.7 juta kakitangan awam ini melibatkan perjawatan di sektor kesihatan, pendidikan, tentera dan polis (Sarawak Voice, 25 Disember 2019).
Melihat kepada jumlah penjawat awam ini, maka tidak hairan jika insentif kepada penjawat awam menjadi satu agenda utama belanjawan tahunan negara.
Covid-19: Norma Dan Budaya Kerja Baharu Penjawat Awam
Sepanjang usaha menangani pandemik Covid-19, bersama-sama barisan hadapan terutamanya sektor kesihatan dan badan beruniform lain seperti polis, bomba, pertahanan awam dan tentera, penjawat awam yang lain turut diarahkan untuk bekerja dari rumah (BDR) untuk memastikan kerja-kerja jabatan tidak terjejas.
Di sektor pendidikan pula mereka diarahkan untuk melaksanakan pembelajaran atas talian. Kebiasaan
baharu ini menuntut pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit
dikalangan penjawat awam. Barisan hadapan berkorban masa dan tenaga demi
mengekang penularan dan merawat pesakit Covid-19.
Penjawat awam yang BDR pula menggunakan peralatan peribadi sendiri atau membeli peralatan pejabat seperti mesin pencetak, komputer, rangkaian internet dan perabot yang sesuai untuk menyediakan ruang kerja yang terbaik.
Begitu juga para pendidik yang perlu membeli peralatan yang sesuai untuk memastikan keberkesanan pembelajaran secara maya seperti mikrofon, alat pandang dengar, projektor dan rangkaian internet.
Tetapi norma dan budaya kerja baharu ini juga datatang dengan implikasi emosi
yang besar. Keperluan menyeimbangkan tanggungjawab di rumah dan
tanggungjawab terhadap majikan menuntut pengorbanan dan komitmen yang
tinggi.
Sering kita mendengar luahan penjawat awam di mana mereka mendapat arahan kerja tidak mengira masa dan terpaksa berjaga malam untuk menyiapkan kerja. Ada juga yang mengadu tentang bil elektrik yang melambung naik dengan norma baru kerja ini.
Dalam masa yang sama penjawat awam ini juga mempunyai anak-anak yang bersekolah yang sedang melalui pembelajaran secara maya. Anak-anaik ini juga memerlukan komputer riba, rangkaian internet, tablet dan telefon bimbit.
Bagi penjawat awam yang kurang berkemampuan, ini menuntut satu anjakan minda dan pengorbanan kewangan yang besar. Namun penjawat awam dengan rela hati melakukan semua ini atas nilai tanggungjawab demi memastikan perkhidmatan awam tetap berjalan lancar.
Cadangan Insentif Penjawat Awam Dalam Belanjawan 2021
Melihat kepada kos dan implikasi norma dan budaya baharu kerja ini, dicadangkan agar kerajaan menimbangkan 7 insentif seperti dibawah dalam belanjawan 2021;
i. Menaik dan memperkenal elaun kritikal barisan sektor kesihatan dan barisan hadapan lain seperti bomba, polis dan tentera.
ii. Insentif one-off kepada penjawat awam di sektor kesihatan sebagai penghargaan atas khidmat bakti mereka sepanjang Covid-19.
iii. Rebat cukai khas untuk pembelian peralatan komputer bagi diri sendiri dan anak.
iv. Rebat cukai khas untuk para pendidik dalam menyediakan kemudahan pembelajaran dan pengajaran.
v. Rebat cukai khas untuk pembelian rangkaian internet bagi diri sendiri dan anak. Pada tahun 2019 pengecualian cukai ini termasuk dalam kategori gaya hidup dengan maksimum amaun RM2,500.
vi. Kerjasama dengan mana-mana syarikat insuran untuk memastikan semua penjawat awam dilindungi dengan premium insuran mampu bayar.
vii. Rebat cukai kepada penjawat awam dalam pembelian peralatan pejabat.
viii. Rebat cukai untuk kos pembayaran bil elektrik dalam amaun yang tertentu.
Kita memahami kesungguhan kerajaan untuk mengiktiraf sumbangan penjawat awam selama ini. Pada masa yang sama, kita juga menyedari kerajaan berdepan dengan kekangan kewangan dari segi jumlah pendapatan dan cukai negara yang boleh dikutip.
Apapun, jika ada ruang di mana yang boleh, kita minta kerajaan pertimbang cadangan di atas. Apa yang akan disedia atau diberi oleh kerajaan dalam belanjawan 2021 nanti, ia akan menjadi teras kepada penjawat awam untuk terus meningkatkan kualiti kerja perkidmatan awam.
Jika
sebaliknya, ia tetap juga akan dihargai kerana rakyat Malaysia tahu
kerajaan telah dan akan melakukan yang terbaik demi kemaslahatan semua. SM
No comments:
Post a Comment