PETALING JAYA: Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mempersoalkan tinjauan yang digunakan untuk merekod jumlah rakyat Malaysia yang menganggur selepas Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, kadar pengangguran berada pada paras 5.3%.
Anwar (PH-Port Dickson) bertanya sama ada angka itu “realistik” berikutan tinjauan dilakukan melalui temu duga telefon, bukan melalui tinjauan lapangan.
“Saya bimbang kerana angka ini selalunya lebih rendah daripada kenyataan sebenar.
Umpamanya, unjuran sebelum ini semuanya sekitar bawah 5% dan bulan Mei 5.3%.
“Ini tak termasuk pekerja yang hilang pekerjaan ataupun yang diberi cuti tanpa gaji yang mencecah jumlah yang besar,” katanya, dengan menambah peratusan pengangguran akan lebih tinggi jika tinjauan dilakukan mengikut kaedah konvensional.
“Jumlah (pengangguran) itu harus realistik,” katanya.
Anwar meminta kementerian itu menyatakan kadar penggangguran negara dan anggaran jumlah penduduk yang menganggur sehingga akhir tahun ini serta menyatakan langkah yang diambil dalam mengatasi lonjakan kenaikan kadar pengganguran terkini.
Beliau berkata, tinjauan yang dilakukan oleh Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia menunjukkan majoriti syarikat berada dalam keadaan parah dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan lebih 1.4 juta rakyat Malaysia mungkin kehilangan pekerjaan berikutan pandemik Covid-19.
Sebelum ini Saravanan berkata, kadar pengangguran berada pada paras 5.0% pada bulan April.
“Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar penggangguran Malaysia meningkat kepada 5.3% pada Mei 2020 berbanding dengan 5.0% pada April 2020.
“DOSM menganggarkan julat maksimum kadar pengangguran adalah dalam lingkungan 3.5% dan 5.5% tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, antara sektor pekerjaan yang paling terjejas adalah pelancongan, pembuatan, perkhidmatan serta tidak terkecuali golongan yang bekerja sendiri.
Menjawab pertanyaan Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai langkah yang diambil untuk mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat, Saravanan berkata, mereka berpeluang untuk bekerja dalam projek mega di negara ini.
Beliau berkata, ini kerana kementerian tidak membenarkan mana-mana pekerja asing masuk ke dalam negara untuk sektor tertentu sehingga hujung tahun ini.
Katanya, projek seperti Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan menyaksikan lebih ramai rakyat Malaysia diambil bekerja.
No comments:
Post a Comment