Sunday, July 19, 2020

Agensi keselamatan akan bincang kadar kemalangan penghantar makanan

Difahamkan, Miros sudah memulakan tinjauan dalam talian untuk menilai pendapat
umum dan penyelidik akan mengkaji tingkah laku, corak operasi dan menganalisis
data kemalangan jalan mengenai penghantar makanan.

KUALA LUMPUR: Sebuah agensi keselamatan jalan raya kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pengendali penghantaran makanan mengenai kadar tinggi kemalangan membabitkan penunggang motosikal perkhidmatan itu.

Ketua Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) berkata, kadar kemalangan jalan raya membabitkan penghantar makanan ketika perintah kawalan pergerakan membimbangkan.

“Empat kematian, 55 kecederaan serius dan 73 kecederaan ringan dalam 3 bulan dalam kalangan penghantar makanan menggunakan motosikal dari 2 syarikat aplikasi bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan,” kata Ketua Pengarah Miros, Khairil Anwar Abu Kassim.

Merujuk laporan FMT baru-baru ini mengenai kadar tinggi kemalangan membabitkan penghantar makanan, Khairil Anwar berkata, Miros akan berhubung segera dengan pelbagai syarikat aplikasi penghantaran makanan, termasuk Foodpanda dan GrabFood.

“Kami akan menekankan kepada pengendali keperluan menetapkan garis panduan dan latihan operasi selamat untuk penghantar makanan,” katanya sambil menambah penghantar makanan tidak patut merisikokan nyawa sendiri untuk menghantar makanan.

Beliau juga bimbang dengan trend penggunaan telefon pintar ketika menunggang motosikal.

“Semua tumpuan perlu terletak pada jalan raya. Menggunakan telefon pintar semasa menunggang tidak boleh dijadikan amalan biasa, walaupun ada yang memasang peranti ‘hands-free’ pada motosikal.

“Sebelum memulakan perjalanan (untuk menghantar makanan), lebih baik melihat peta digital dalam telefon pintar untuk menentukan laluan ke lokasi pelanggan.

“Katakanlah, jika penunggang tidak yakin dengan lokasi pelanggan, berhenti dengan selamat di tepi jalan (untuk melihat peta) dan jangan lakukannya ketika menunggang. Lebih baik selamat daripada menyesal kemudian.”

Difahamkan, Miros sudah memulakan tinjauan dalam talian minggu ini untuk menilai pendapat umum dan penyelidik akan menjalankan kajian mendalam mengenai tingkah laku, corak operasi dan menganalisis data kemalangan jalan daripada polis mengenai penghantar makanan.

Sementara itu, Grab berkata, ia tidak berkompromi terhadap pelanggaran peraturan lalu lintas dan pemanduan cuai.

Katanya, pemandu dan penghantar makanannya sentiasa diingatkan untuk mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi peraturan jalan raya seperti had laju ditetapkan, papan tanda jalan dan lampu isyarat, serta menggunakan peranti “hands-free” ketika memandu dan menunggang.

Grab berkata, ia mampu menilai prestasi pemandu dan penunggang di jalan raya melalui pemantauan keletihan serta laporan telematik.

“Mereka menerima laporan secara tetap mengenai corak pemanduan mereka seperti pandu melebihi had laju, pemecutan dan membrek.”

Grab menafikan penunggangnya tidak menjalani latihan atau mereka tidak mempunyai perlindungan insurans mencukupi.

“Penunggang kami dikehendaki menjalani latihan keselamatan pemandu dan penilaian praktikal serta dilengkapi topi keledar untuk rakan pemandu dan penumpang, juga jaket pantulan cahaya untuk pemandu.”

Katanya, penunggang dilindungi insurans kemalangan diri berkumpulan dengan rakan kongsi yang aktif berprestasi tinggi turut dilindungi insurans sepanjang masa.

Foodpanda belum memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen daripada FMT.

No comments: