Khamis, 9 April 2020

Selangor bakal laksana E-Bazar Ramadan Selangor GRAB

Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk melaksanakan ekosistem keusahawanan baharu dengan kerjasama syarikat penghantaran, Grab Malaysia sepanjang musim Ramadan tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif berkenaan diambil susulan pengumuman pembatalan penganjuran bazar Ramadan tahun ini yang dijangka menyebabkan hampir 17,000 peniaga dan penjaja hilang mata pencarian.

Jelasnya, konsep Bazar Ramadan Digital berkenaan hanya membenarkan pembelian dalam talian sahaja (online) melalui aplikasi GRAB dan akan mematuhi segala spesifikasi penyediaan makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Platform digital ini dinamakan E-Bazar Ramadan Selangor GRAB yang membolehkan para peniaga menjana pendapatan selain memberi peluang rakyat Selangor membeli juadah berbuka puasa dalam talian.

“Sebanyak 15 lokasi telah dikenalpasti sebagai lokasi pelaksanaan untuk dijadikan dapur berpusat (central kitchen).

“Di peringkat Kerajaan Negeri pelaksanaan akan diselaras oleh Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) dan HIJRAH,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa sama, Amirudin berkata, idea berkenaan adalah salah satu usahasama strategik awam-swasta yang diperlukan saat ini bagi menghadapi norma baharu akibat ancaman wabak COVID-19.

Malah, beliau berharap agar semua pihak dapat mengambil manfaat daripada inisiatif digitalisasi Selangor ini.

Tiada ulasan: