Tetapi, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan kit ujian itu akan tiba seawal Jumaat ini atau minggu depan.
“Kita sedang melalui G2G (kerajaan dengan kerajaan). Jadi, sekarang kita berharap Wisma Putra akan terus membantu kita untuk mendapatkan kit ujian itu secepat mungkin,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.
Sebelum ini, Hisham dilaporkan berkata, kit ujian “Standard Q Bio-Censor” mempunyai keupayaan 84.4% untuk mengesan jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, KKM mahu menempah sehingga 1 juta kit ujian pantas itu.
Dengan adanya kit ujian itu, katanya, pekerja kesihatan boleh menjalani ujian saringan di lapangan terbang (termasuk penumpang transit) atau klinik dan keputusan boleh diperolehi dalam 30 hingga 45 minit.
PKP lanjut atau tamat
Hisham berkata, pihaknya akan menemui Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin 4 hari sebelum perintah kawalan pergerakan fasa 3 berakhir.
Katanya, KKM akan memberi pandangannya sama ada PKP perlu dilanjutkan atau sebaliknya.
“Kami akan beri nasihat kepada perdana menteri berdasarkan model, fakta dan angka yang kami ada.”
Pesakit ILI, SARI
Hisham mengulangi kenyataan, pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) akan dirawat sebagai pesakit Covid-19 sehingga keputusan makmal membuktikan mereka negatif virus itu.
Beliau mengingatkan petugas barisan depan sektor kesihatan mengambil langkah keselamatan dan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika merawat pesakit denggi serta pneumonia.
Katanya, 45 doktor perubatan disahkan positif Covid-19 setakat ini.
Terdahulu, Hisham mengumumkan kluster terbaru Covid-19 dikesan di Pengerang, Johor yang melibatkan seorang pesakit disyaki menghidap demam denggi.
Pesakit itu dikatakan menerima rawatan di klinik swasta pada 16 Mac lalu sebelum disahkan positif Covid-19 pada 22 Mac.
Setakat ini, kluster itu melibatkan 15 kes positif yang terdiri daripada 10 rakan sekerja dan 5 ahli keluarga, termasuk ibu pesakit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan