Hujan lebat yang turun bermula pukul 3 petang menyebabkan kawasan di Kepala Batas, Permatang Buluh, Lahar Yooi, Nyior Sebatang, Sungai Dua, Machang Bubok, Tasek Gelugor, Simpang Ampat, Bagan Ajam, Merbau Kudung iaitu bahagian pulau dinaiki air di antara 0.1 hingga 0.4 meter.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, lebih 50 rumah, terutama di kawasan SPU yang berada di kawasan rendah dimasuki air berikutan limpahan air akibat hujan lebat lebih 2 jam di negeri itu.
Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini tiada pemindahan mangsa dilakukan dan air banjir juga mula surut.
Selain itu, katanya beberapa buah rumah di kawasan SPU turut mengalami kerosakan akibat ribut dan pihaknya sedang membuat pemeriksaan serta tinjauan bagi mengetahui jumlah sebenar kerugian.
Seorang mangsa ribut di Permatang Buluh, Mohd Azhar, 45, berkata sebahagian bumbung hadapan rumahnya diterbangkan ribut dan rumah kampung setingkatnya itu juga turut dilanda banjir kilat dalam kejadian pada petang ketiga umat Islam berpuasa.
“Mula-mula hujan lebat dalam pukul 3 lebih dan saya serta keluarga memang ada dalam rumah, dalam pukul 5 petang macam tu, tiba-tiba angin kuat… lepas tu bunyi sangat kuat disusuli dengan bumbung terbang dibawa ribut.
“Kejadian tersebut sangat pantas dan saya pada masa sama, terus menjerit kepada anak-anak supaya selamatkan diri dengan berlindung di bahagian dapur, ruang tamu dah dimasuki air hujan waktu tu… Alhamdulilah, kami semua selamat,” katanya di sini hari ini.
Pesawah itu juga berkata rumah beberapa jirannya turut mengalami kerosakan akibat ribut dan mereka bernasib baik kerana tiada yang cedera dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima laporan daripada 10 pemilik rumah di daerah tersebut yang dilanda ribut dalam kejadian hari ini, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan