Khamis, 9 April 2020

Malaysia kini turun ke ‘Liga Kedua’ Covid-19 dunia

Kejayaan Malaysia mengawal Covid-19 kini terserlah apabila negara mencatat penurunan kedudukan sekaligus boleh dianggap berada di Liga Kedua dalam senarai negara yang dijangkiti wabak ini.

Malaysia kini terkeluar dari senarai halaman pertama negara di dunia yang diserang wabak Covid-19. 

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan worldometer, negara kini menghuni tangga ke-34 dengan jumlah 4,119 kes positif dan 65 kematian

Kedudukan terbaharu itu menunjukkan perkembangan positif berbanding kedudukan pada tiga hari lalu iaitu pada 6 April yang berada di tangga ke-29.

Berbanding pada 19 Mac lalu, Malaysia mencatat kedudukan ke-17 bersama dengan senarai negara-negara dijangkiti pandemik koronavirus (Covid-19) tertinggi.

Rekod terbaru hari ini, negara jiran Filipina di tangga ke-35 (3,870 kes), Indonesia di tangga ke-38 (2,956 kes), Thailand di tangga ke-44 (2,369 kes), manakala Singapura kekal di tangga ke-52 (1,623 kes) sejak 6 April.

Sementara itu, Amerika Syarikat dengan (434,927 kes) dan Sepanyol (148,220 kes) masing-masing berada di kedudukan teratas dengan jumlah paling ramai dan kedua dunia, diikuti dengan Itali di kedudukan ketiga dengan 139,422 kes.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 seluruh dunia dilaporkan sebanyak 1,518,518 kes, yang melibatkan 330,589 kes sembuh manakala 88,495 kematian.

Tiada ulasan: