Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini memutuskan waktu perjalanan yang dibenarkan adalah dari 9.00 malam hingga 9.00 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal.
"Kapasiti penumpang akan dihadkan separuh daripada jumlah sebenar bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi dalam bas," katanya pada sidang media harian, hari ini.
Bagi pelajar yang memiliki kenderaan sendiri, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan dari pihak IPT dan balai polis berhampiran dengan dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan hanya seorang dibenarkan untuk setiap kenderaan.
Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan penerbangan pulang kepada pelajar- pelajar yang berhasrat untuk pulang ke Sabah dan Sarawak.
"Pelajar yang akan pulang ke Zon Hijau di Sabah dan Sarawak akan diterbangkan ke lapangan terbang yang terdekat dengan kampung mereka dan mereka mesti menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari," tambahnya.
Proses penghantaran pulang akan melibatkan seramai 53 ribu pelajar atau 85 peratus daripada pelajar IPT dibawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Katanya pihak KPT akan terus menyediakan makanan dan minuman kepada pelajar yang memilih untuk kekal dikampus masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan