Selasa, 21 April 2020

Tidak boleh solat tarawih secara dalam talian

Zulkifli Mohamad Al-Bakri


PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpandangan bahawa solat tarawih yang dilakukan secara dalam talian tidak dibolehkan.

Beliau berkata, syarat berimam bagi seseorang makmum adalah individu itu semestinya dapat melihat fizikal imam berada di satu tempat dan mengetahui pergerakan imam.

"Sebagai contoh, jika kita solat secara dalam talian dan ikut imam di Masjid Negara, tiba-tiba sambungan internet terputus, maka macam mana makmum nak ikut.

"Jadi untuk tahun ini, adalah lebih baik sembahyang di rumah dengan suami atau ketua keluarga.

Mungkin tahun ini akan ada ramai imam baru walaupun tak bertauliah," katanya selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online PPZ-MAIWP dan Penyerahan Sumbangan Tabung Musaaddah Khaira PPZ yang berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sehingga 28 April ini dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19).

Sejak pelaksanaan itu, semua aktiviti dan program di masjid serta surau dihentikan buat sementara waktu bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, satu Mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan turut bersidang hari ini bagi mendapatkan pandangan para ulama berhubung beberapa perkara.

"Hari ini kita akan lihat pandangan ulama mengenai solat tarawih, nikah online, jarak sosial dalam solat dan sebagainya. Kita nak dengar pandangan negeri-negeri lain berhubung perkara ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pertikaian akad bagi bayaran zakat fitrah secara dalam talian, Zulkifli berkata, perkara itu adalah berlainan dengan sistem nikah atau sebagainya.

"Akad zakat ini lebih kepada kita berniat untuk beri zakat dan bila mana kita membuat tindakan (bayaran zakat) itu, maka itulah zakat.

"Di Malaysia kita bergantung kepada prosedur di mana Ulul Amri telah menjelaskan bahawa zakat perlu dibayar kepada badan dilantik oleh kerajaan.

"Bila zakat secara fizikal, kebiasaannya amil akan membaca doa selepas akad dibuat. Oleh itu, dalam sistem online ini, kita akan turut sertakan doa di dalam resit buat para pembayar," katanya.

Tiada ulasan: