Perdana
Menteri Muhyiddin Yassin malam ini menyertai beberapa pemimpin dunia
dalam menggesa kolaborasi global untuk menyegerakan usaha dalam
penghasilan vaksin untuk Covid-19 yang telah menjejaskan dunia dengan
teruk.
Beliau berkata dunia perlu saling bekerjasama untuk menyegerakan pembangunan dan pengeluaran peralatan dan vaksin serta memastikan akses samarata di peringkat global terhadap teknologi kesihatan penting yang baharu bagi Covid-19.
“Malaysia komited sepenuhnya untuk menjadi sebahagian usaha yang terikat dengan masa ini dan turut serta dalam penghasilan dan pembuatan beberapa peralatan dan vaksin ini sebaik sahaja diperlukan.
"Dan saya menggesa pemimpin, penderma, sektor swasta dan komuniti saintifik di seluruh dunia untuk menyokong usaha penting ini bagi memenangi perang terhadap Covid-19,” katanya dalam ucapannya.
Pastikan tiada siapa tercicir
“Satu-satunya cara kita boleh
memusnahkan musuh bersama yang tidak kelihatan ini adalah menerusi
solidariti dan kerjasama,” katanya.
Muhyiddin, yang juga pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), menegaskan tidak pernah berlaku sebelum ini bahawa gesaan jelas untuk memastikan tiada siapa yang tercicir adalah lebih penting berbanding sekarang.
“Dunia perlu saling bekerjasama untuk menyelaraskan usaha kita dan menyegerakan pembangunan peralatan penting untuk menghentikan penularan penyakit ini.
“Peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kekal sebagai satu daripada modaliti terkuat kita untuk membendung pandemik ini dalam cara yang dapat memastikan bahawa senjata dalam perang ini yang kita berjuang boleh sampai kepada setiap orang, di mana sahaja dan dalam waktu sesingkat mungkin” katanya.
Tedros (gambar, bawah), dalam ucapan alua-aluannya berkata inisiatif itu dilancarkan bagi memastikan setiap orang akan mempunyai akses kepada peralatan yang diperlukan untuk menumpaskan Covid-19.
"Kita akan bekerjasama untuk bekerja dalam cara baharu untuk mengenal pasti cabaran dan penyelesaian secara bersama-sama.
“Kita berdepan ancaman yang sama yang kita hanya dapat tumpaskannya dengan pendekatan bersama,” katanya.
Menurut Tedros, sejak Januari tahun ini, WHO telah bekerjasama dengan ribuan penyelidik daripada seluruh dunia untuk mempercepat pembangunan vaksin Covid-19.
“Dunia perlukan peralatan ini dan ia memerlukannya
dengan segera. Pengalaman lepas telah mengajar kita bahawa walaupun
peralatannya sudah ada tetapi ia tidak diagihkan secara samarata kepada
semual. Kita tidak boleh membiarkan ini berlaku,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan