Khamis, 30 April 2020

Menteri jelaskan kenapa wakil rakyat hanya didenda, bukan penjara

Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob memberi penjelasan mengapa timbalan menteri dan exco kerajaan negeri Perak hanya dikenakan denda RM1,000, mengatakan kedua-duanya didapati hanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau menegaskan tiada unsur darjat dan tiada pihak yang terlepas daripada tindakan undang-udang apabila melibatkan kes ingkar PKP.

Katanya, wakil rakyat dibenarkan meneruskan khidmat kebajikan kepada rakyat di bawah jagaan masing-masing sepanjang PKP berkuat kuasa.

“Tapi mungkin kesalahan mereka tak jaga jarak sosial, SOP dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Ismail berkata demikian sebagai reaksi kepada segelintir pihak yang mempersoal mengapa pengingkar PKP seperti wakil rakyat hanya dikenakan denda maksimum RM1,000, manakala sebahagian pesalah yang lain dikenakan hukuman penjara.

Katanya, terdapat juga pesalah kes lain melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan seperti mengganggu tugas pihak berkuasa dan melanggar sekatan jalan raya.

“Ada yang langgar sekatan jalan raya hingga cederakan polis,” katanya.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai menghentikan spekulasi seolah-olah terdapat perbezaan darjat ketika menjalankan hukuman terhadap kes tersebut sepanjang PKP.

“Bukan libatkan dua darjat, kedudukan dan sebagainya,” tegasnya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria masing-masing didenda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Gerik kerana melanggar SOP PKP pada 2 minggu lalu.

Kedua-duanya mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

Tiada ulasan: