Khamis, 30 April 2020

Polis buka 4 kertas siasatan berkait Rohingya, video jelik di Facebook

Polis berkata, sekumpulan etnik Rohingya menjelaskan bahawa 
kemarahan mereka bukan ditujukan kepada orang Melayu, 
sebaliknya kepada Zafar Ahmad, presiden Mehrom.
 
KUALA LUMPUR: Polis membuka 4 kertas siasatan berkaitan isu etnik Rohingya, termasuk berhubung video “Live Facebook” disyaki dilakukan sekumpulan lelaki Rohingya yang didakwa menakutkan secara jenayah dengan menggunakan kata-kata kesat serta berbaur ugutan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, semakan polis mendapati “Live Facebook” itu menggunakan akaun milik Villan Vicky berbangsa Rohingya yang kini menetap di Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat.

“Dia pernah tinggal di Malaysia …posting itu mencabar rakyat Malaysia dengan menggunakan bahasa kesat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain itu siasatan turut dijalankan terhadap satu hantaran atau posting video tular yang menunjukkan 4 individu sedang menjalankan latihan menembak menggunakan senjata api dan suspek juga membuat ugutan untuk menembak mana-mana individu yang masuk ke kawasan tempat tinggal suspek.
Siasatan kes membabitkan etnik Rohingya itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) susulan 19 laporan yang diterima sejak Sabtu lepas sehingga semalam.

Menjelas lanjut, Huzir berkata, siasatan terhadap “Live Facebook” itu mendapati perbualan antara 3 lelaki dengan seorang lelaki yang mempersoalkan tujuan mereka memberikan komen negatif terhadap orang Melayu.

“Di penghujung ‘Live Facebook’ itu mereka menjelaskan bahawa sebenarnya kemarahan itu bukan ditujukan kepada orang Melayu di Malaysia, sebaliknya kepada Zafar Ahmad, presiden Pertubuhan Hak Asasi Ethnik Rohingya Malaysia (Mehrom) dan etnik Rohingya yang didakwa ingin menjadi orang Melayu,” katanya.

Selain itu, mereka turut memaparkan video latihan menembak sebagai persiapan untuk mempertahankan diri.

Huzir berkata, video yang tular itu adalah “Live Facebook” antara 3 lelaki yang dianggap sebagai komuniti etnik Rohingya yang tinggal di negara ini.

Beliau berkata, percubaan awal kumpulan itu adalah untuk menyatakan kemarahan dan ketidakpuasan hati terhadap Zafar kerana menganggap komen yang dinyatakan oleh presiden Mehrom itu bukan suara etnik Rohingya yang tinggal di Malaysia.

“Live Facebook itu menimbulkan perselisihan faham di antara kedua-dua pihak sehingga ia membawa kepada ancaman, penghinaan dan komen kasar,” katanya.

Huzir berkata, video kedua pula adalah lanjutan kepada video sebelumnya yang dimulakan dengan rakaman 2 lelaki sedang berlatih menembak mengunakan pistol jenis magnum dan tertera paparan lokasi di Milwaukee-Jackson Park

Ketiga-tiga lelaki dalam video itu menyatakan kesediaan mereka untuk bertindak balas dengan menggunakan senjata api itu jika diancam dan menyatakan kemarahan dan video latihan menembak itu ditujukan kepada Zafar Ahmad, selain langkah keselamatan jika berhadapan dengan pihak berkuasa Myanmar.

Huzir berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu menggunakan perkataan atau kelakuan kurang sopan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Sehubungan itu, polis menggesa orang ramai menghentikan apa jua spekulasi mengenai siasatan yang sedang dijalankan dan sebarang kenyataan atau artikel yang berkaitan perkara itu tidak sewajarnya dimuat naik mahupun dikongsi di laman sosial kerana dikhuatiri akan menimbulkan suasana ketegangan dan tidak harmoni di negara ini.

“Sebarang bentuk kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan bersifat jelik serta boleh menyebabkan kegentaran awam akan diambil tindakan tegas,” katanya.

Tiada ulasan: