Rabu, 22 April 2020

Ambil iktibar daripada Kluster Pengerang, sub Kluster Rembau – Noor Hisham

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF01042020_PC-KP-KESIHATAN16-1
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
 

PUTRAJAYA – Orang ramai diminta kekal patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun umat Islam dijangka mula menjalani ibadah puasa, Jumaat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aktiviti kunjung mengunjungi, merentasi negeri, daerah serta mukim dan perhimpunan perlu dielakkan.

Katanya, langkah itu wajar diambil dan mereka perlu mengambil iktibar daripada Kluster Pengerang dan Sub kluster Rembau.

“Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) khuatir aktiviti seperti ini yang sememangnya telah menjadi kelaziman rakyat, akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 di kalangan ahli keluarga terutama kepada golongan warga emas dan kanak-kanak,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata, umat Islam diseru menggunakan peluang Ramadan yang bakal menjelma untuk menjalankan aktiviti dan amalan keagamaan seperti persediaan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah dengan keluarga di rumah masing-masing.

“Selain daripada meraikan bulan Ramadan bersama keluarga tersayang di rumah, langkah ini dapat membantu kita menjaga dan melindungi ahli keluarga yang dikasihi terutamanya ibu bapa yang tua dan anak-anak kecil daripada dijangkiti penyakit Covid-19.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan

jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan penjagaan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air serta sabun,” ujarnya.

Terdahulu, Noor Hisham mendedahkan Kluster yang bermula di Pengerang, Johor melibatkan kes indeks ke 1508 telah merentasi beberapa buah negeri untuk menziarahi sanak saudara di Selangor biarpun bergejala sehari sebelumnya.

Akibatnya, tambah beliau, individu tersebut telah menjangkiti 15 orang termasuk ibunya yang berusia 79 tahun dan anak perempuan berusia 10 tahun.

Sementara itu, dua minggu lalu KKM mengesan sub Kluster Rembau yang telah menjangkiti 27 orang dan dua daripada mereka dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU). – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: