Selasa, 28 April 2020

Timbalan menteri kesihatan, exco Perak didenda RM1,000 ingkar PKP


MAHKAMAH Majistret Gerik hari ini menjatuhkan denda maksimum RM1,000 masing-masing ke atas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) 2 minggu lalu.

Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-duanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Perak itu didakwa bersama 13 individu lain melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

BERNAMA melaporkan Mereka semua kemudiannya membayar denda itu.

Pada 18 April lalu, Azmi memuat naik gambar beliau bersama Razman dan beberapa individu menghadiri satu jamuan di Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong.

Azmi yang juga ahli Parlimen Bagan Serai kemudiannya memohon maaf atas kesilapan itu selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Razman yang juga Adun Gunung Semanggol dan pesuruhjaya PAS Perak turut memohon maaf menerusi Facebooknya dan memberi keterangan di IPD Kerian.

Terdahulu, Azmi serta Razman tiba serentak pada 9.20 pagi tadi.

Kawalan di sekitar mahkamah diperketatkan dengan kehadiran polis, selain media yang mula tiba seawal pukul 7 pagi tadi bagi membuat liputan prosiding kes itu.

Sementara itu, hari ini, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago telah diminta hadir untuk memberi keterangan ekoran terdapat laporan polis menuduh beliau melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Free Malaysia Today (FMT) melaporkan, Peguam V Vemal Arasan memberitahum Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh telah menghantar surat semalam meminta ahli parlimen itu untuk hadir ke balai polis pada pukul 11 pagi ini.

Vemal Arasan berkata, Santiago dipanggil untuk diambil keterangan selepas terdapat laporan mendakwa beliau melanggar PKP kerana terlibat mengagihkan sumbangan makanan di  Dewan Orang Ramai Taman Klang Utama dua hari lalu.

“Kami akan mendapatkan perincian lain daripada pegawai penyiasat,” kata peguam itu yang mengiringi Santiago hadir di balai polis hari ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga pada minggu lalu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.bagi memberi keterangan berhubung kes pelanggaran PKP.

Ini ekoran tersebar gambar beliau bersama beberapa lelaki di rumah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Dalam gambar yang tular di pelbagai platform media sosial Ahmad Samsuri dilihat bersama beberapa lelaki dan beliau didakwa tidak melakukan penjarakan sosial seperti yang disarankan pihak kerajaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Turut disiasat kerana melanggap PKP ialah anak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hami, iaitu Datuk Nurulhidayah memuat naik gambar di Instagram dipercayai memaparkan perbuatan melanggar PKP.. – SM


Tiada ulasan: