Isnin, 27 April 2020

Siasat isu kad pengenalan palsu untuk kawal lambakan PATI

Oleh Fazleen Safina

 

Mereka dilindungi UNHCR perlu dipulangkan ke negara masing-masing

BANGI – Kerajaan perlu memperketatkan proses kemasukan warga asing melalui kawalan di sempadan dan imigresen bagi mengelakkan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

Pihak berkuasa juga perlu menghadkan bilangan PATI yang dibenarkan masuk – dengan tidak membiarkan mana-mana syarikat mengambil seberapa jumlah pekerja asing yang mereka disukai, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau mengakui isu lambakan pendatang asing memerlukan pengurusan yang sangat teliti antaranya elemen kemanusiaan dan kepentingan negara.

“Namun, hentikan manipulasi orang politik yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan membawa masuk pendatang asing masuk dalam negara.

“Bagi yang dilindungi bawah Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), mereka perlu segera dipulangkan ke negara masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak akhir-akhir ini negara digemparkan dengan kes pendatang haram yang masuk secara tidak sah. Bukan itu sahaja, turut berlaku penipuan kad pengenalan yang membabitkan pihak-pihak tertentu.

Terdahulu, pada 2019, Jabatan Perangkaan menganggarkan jumlah warga asing yang tinggal secara sah di negara ini pada 2018 ialah sekitar 3.3 juta orang daripada keseluruhan 32 juta penduduk di Malaysia.

Selain itu dilaporkan, 180,000 pelarian yang berdaftar serta tidak berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan ratusan ribu pelancong asing yang tidak pulang ke negara masing-masing.

Haji Aminuddin berkata, meskipun kehadiran mereka diperlukan dalam kerja-kerja pembinaan dan aktiviti lain membabitkan perkembangan ekonomi negara ini, namun ada di antara mereka yang membawa masalah sosial.

“Sebagai negara Islam, secara umumnya kita wajib membantu mana-mana saudara muslim lain yang berada dalam kesusahan tidak kira di mana mereka berada. Tetapi, bantuan ini bukan bermakna boleh menggugat keselamatan negara dan kebajikan rakyat negara sendiri.

“Selama ini pun Malaysia sudah dikenali sebagai negara yang banyak membantu negara-negara muslim lain sama ada dalam bentuk menerima mereka sebagai pelarian atau menghantar pertolongan ke negara-negara yang memerlukan,” katanya.


Tiada ulasan: